Harga minyak mentah antarabangsa jatuh turun sepanjang 6 bulan lalu, sejak Jun 2014. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air seharusnya memberi alasan mereka untuk tidak menurunkan tarif elektrik pada hujung tahun?
Menurut kenyataan Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, kerajaan akan mengkaji semula tarif elektrik mengikut harga bahan api setiap 6 bulan. Walaubagaimanapun, kerajaan masih gagal untuk menurunkan tarif elektrik menjelang Januari 2015.
Oleh yang demikian adakah rakyat Malaysia akan terus terpaksa membayar tarif elektrik tinggi sepanjang 6 bulan hingga bulan Jun 2015? Berapa banyak pula keuntungan yang akan dikaut TNB sepanjang 6 bulan ini?
Rakyat Malaysia juga berasa pelik, KeTTHA begitu pantas sekali bertindak apabila TNB minta kementerian menaikkan tarif elektrik di saat harga bahan api meningkat.
Namun apabila harga bahan api jatuh, TNB tidak pula meminta untuk menurunkan tarif elektrik malah mereka menolak pula tanggungjawab itu kepada KeTTHA.
Pada masa yang sama, KeTTHA terus berdiam diri walaupun seluruh rakyat Malaysia telah maklum bahawa harga minyak terus jatuh. Harga minyak mentah antarabangsa telah turun ke titik terendah dalam 5 tahun, iaitu pada USD50 satu tong.
Apa alasan KeTTHA untuk tidak mengkaji semula tarif elektrik pada hujung tahun 2014? Sekiranya KeTTHA mendahulukan kepentingan rakyat dan menjalankan tanggungjawab mereka, rakyat Malaysia sepatutnya membayar tarif elektrik yang lebih munasabah bermula 1hb Januari 2015.
Adakah Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili masih bercuti dan tidak menyedari bahawa tarif elektrik yang tidak munasabah ini membebankan rakyat?
Ataupun KeTTHA hanya mementingkan keuntungan syarikat-syarikat tertentu dan mengabaikan kepentingan rakyat Malaysia?