Kenaikan pangkat 22,000 pegawai perubatan kontrak baru-baru ini yang tidak menerima kenaikan gaji adalah memalukan, setelah banyak yang telah dikorbankan dan disumbangkan oleh pasukan barisan hadapan ini kepada negara. (http://bitly.ws/cjEC)
Oleh itu, kenaikan pangkat ini hanyalah tawaran di atas kertas semata-mata, padahal tidak ada sebarang kenaikan gaji kepada mereka berbanding dengan bidang tugas yang semakin bertambah dengan kenaikan pangkat dan jawatan tersebut.
Jadi, apakah makna ‘wira negara’ yang selalu didendangkan kepada mereka selama ini sekiranya tawaran kenaikan pangkat ini jelas lebih bersifat menekan dan membuli mereka?
Sedangkan kebiasaannya, tawaran kenaikan pangkat (bermaksud bidang tugas dan tanggungjawab bertambah), akan disusuli dengan kenaikan gaji.
Lebih penting lagi, Malaysia mesti memberi penghargaan kepada barisan hadapan kita yang berani dan tidak putus-putus menyelamatkan nyawa kerana Pandemik Covid-19 melanda negara kita.
Pegawai perubatan adalah salah satu kerjaya profesional yang sangat dihormati di luar sana kerana mereka sangat menyumbang kepada masyarakat kita pada umumnya.
Mereka tidak boleh diketepikan dalam keadaan negara mengumumkan pelbagai projek berskala besar yang sepatutnya bukan manjadi keutamaan, apa salahnya jika diperuntukkan sedikit kepada kenaikan gaji ini.
Saya berharap kerajaan Perikatan Nasional mengkaji semula keputusan ini untuk memberikan tambahan kenaikan gaji kepada anggota petugas hadapan yang ditawarkan dengan kenaikan pangkat, sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang banyak berkorban untk negara.
Begitu juga dengan kumpulan doktor yang masih belum mendapat lantikan sebagai penjawat awam, supaya diberi lantikan secara tetap dalam perkhidmatan awam.