Skip to content

Apa pendirian parti-parti komponen BN terhadap Hukum Hudud yang disokong sepenuhnya oleh UMNO?

UMNO terang-terang mahu menyokong dan melaksanakan hukum hudud untuk mendapat sokongan kaum Melayu dalam PRU14. Pemimpin-pemimpin UMNO menggunakan kesempatan yang ada untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dan pada masa yang sama menawan hati kaum Melayu dengan menjadi wira yang memperjuangakan hukum hudud.

Pertama, adakah parti-parti komponen BN yang lain juga turut menyokong UMNO dalam mencapai agenda politik ini. MCA berpura-pura untuk menentang hudud untuk dengan niatmenjadi hero di kaca mata orang-orang cina. MIC seperti biasa ‘tidak tahu’ apa yang sedang berlaku dalam negara. Pemimpin-pemimpinnya senyap dan tidak berani membuat komen kerana bimbang akan dibelasah oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Kenyataan-kenyataan lembut oleh pemimpin-pemimpin MIC juga membuktikan kedaifan mereka dalam menyuarakan hasrat parti itu.

Dalam konteks hukum hudud ini, UMNO telah menunjukkan sikap angkuh terhadap semua parti-parti komponen yang membentuk Barisan Nasional. UMNO telah membuat keputusan untuk menyokong hukum hudud tanpa mengambil kira pandangan 12 lagi parti komponen Barisan Nasional.

Adakah parti-parti lain dalam Barisan Nasional turut menyokong perlaksanaan hukum hudud di negara kita? Jika tidak, beranikah Presiden setiap parti komponen Barisan ini memberi pendirian mereka secara terbuka terhadap hukum hudud? Sanggupkah parti-parti ini menarik diri daripada menjadi komponen Barisan Nasional jika UMNO masih mahu meneruskan agenda menyokong pelaksanaan hukum hudud di negara kita?

Pendirian mestilah tegas dan tidak berbelit-belit dan mengelirukan seperti yang dibuat oleh Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong. Nyatakan dengan jelas apakah tindakan MCA jika UMNO menyokong hukum hudud. MCA akan kekal dalam Barisan Nasional atau akan keluar dengan serta merta daripada komponen itu? Jangan mengelirukan rakyat dengan mengubah pendirian apabila digertak oleh Menteri-menteri UMNO seperti Khairy Jamalludin.

Saya juga rasa kesal dan simpati kepada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memberi kenyataan yang lemah-lembut mengenai pelaksanaan hukum hudud. Beliau pernah menyatakan bahawa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Tetapi, beliau gagal untuk membuat pendirian tegas dalam hal ini. Adakah MIC akan kekal dalam komponen Barisan Nasional jika UMNO menyokong pelaksanaan hukum hudud?

Parti-parti lain dalam komponen Barisan Nasional juga harus mengutarakan pendirian mereka sebelum terlambat. Adakah pemimpin-pemimpin setiap parti komponen sanggup melepaskan kepentingan politik, jawatan-jawatan menteri dan faedah-faedah lain yang dinikmati semata-mata untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan? Atau hanya bersandiwara untuk mendapat sokongan kaum masing-masing tetapi akan tunduk kepada petikan jari pemimpin-pemimpin UMNO pada akhirnya.