Skip to content

Apa yang saya akan lakukan di Parlimen sekiranya saya Muhyiddin atau Hadi

Sekiranya saya Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang, saya akan minta Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin untuk membawa satu usul dalam sidang Parlimen selama tiga minggu yang bakal bermula pada 22 Mei untuk memuji peningkatan 40 anak tangga yang dicatatkan negara dalam Carta Kebebasan Akhbar RSF 2023 di mana kedudukan negara kita melonjak dari tempat ke-113 ke tempat ke-73; mencabar kerajaan perpaduan Anwar untuk merekodkan lonjakan yang serupa dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI), dari tempat ke-61 dalam TI CPI 2022 ke tempat ke-21 dalam TI CPI 2023; dan untuk menyatakan sokongan terhadap aspirasi Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Sultan-Sultan untuk adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam negara; dan untuk menyokong wawasan untuk Malaysia mencapai status negara maju dan memenuhi sembilan matlamat strategik Wawasan 2020 menjelang penghujung penggal lima tahun kerajaan perpaduan Anwar pada tahun 2027.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Hadi Awang, patut tahu yang Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai angka di Parlimen untuk memenangi undi tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, dan perbuatan untuk terus menerus bercakap mengenai usaha untuk menumbangkan kerajaan Anwar dengan cara sebegini hanya akan merosakkan peluang Malaysia untuk mendapatkan semula tempatnya sebagai sebuah negara hebat di dunia atau seperti apa yang dititahkan oleh Sultan Johor, bertentangan dengan usaha untuk mengutamakan pemulihan ekonomi dan “tidak sihat untuk seluruh negara, baik dari segi sosial, ekonomi, mahupun kedudukan kita di mata dunia”.

Adakah Muhyiddin dan Hadi akan membuktikan yang mereka adalah pertamanya seorang patriot sebelum ahli politik kepartian?

Sejak penerbitan TI CPI buat pertama kalinya pada tahun 1995, kita telah ditinggalkan bukan sahaja di belakang 10 negara teratas – yang didahului oleh Denmark dan juga termasuklah Singapura – kita juga telah dipintas oleh lima negara yang sebelum ini berada di bawah kedudukan kita dalam TI CPI 1995 (Taiwan, Korea Selatan, Sepanyol, Itali, dan Greece). Tambahan lagi, kita juga telah ditinggalkan di belakang negara-negara seperti Rwanda, Arab Saudi, Croatia, Mauritius, Vanuatu, dan berada di kedudukan yang sama dengan Jordan.

Jika kita tidak meningkatkan usaha kita, kita bakal ditinggalkan di belakang Armenia, China, Cuba, Bahrain, Jamaica, Oman, Benin, Bulgaria, Ghana, Senegal, Afrika Selatan, Burkina Faso, Hungary, Kuwait, Timor-Leste, Vietnam, Kosovo, Guyana, India, Maldives, Suriname dan Tunisia menjelang penghujung dekad ini.

Malah, Indonesia juga telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan markah 34/100 untuk tahun 2022, sedangkan Malaysia pula yang mencatatkan markah yang lebih buruk dengan hanya 47/100 pada tahun 2022.

Adakah kita hanya menunggu masa sahaja sebelum Indonesia memintas kedudukan Malaysia dan menunjukkan kepada seluruh dunia yang Indonesia lebih bersih dan kurang bermasalah rasuah berbanding dengan Malaysia?

Dalam TI CPI 1995, Malaysia berada di tempat ke-23 dari 41 buah negara yang ditinjau. India berada di tempat ke-35, China di tempat ke-41, dan Indonesia di tempat ke-41, yang terakhir dalam senarai.

Dalam TI CPI 2022 pula, Malaysia di tempat ke-61 dari 180 negara, China berada di tempat ke-65, India 86, dan Indonesia di tempat ke-110 dengan markah 34/100.

Adakah Malaysia akhirnya akan ditinggalkan di belakang China, India, dan Indonesia sebelum ulang tahun ke-100 negara kita pada tahun 2057?

Dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kita telah ditinggalkan di belakang Emiriah Arab Bersatu, Qatar, dan Arab Saudi. Kita juga bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara-negara OIC sekiranya kita terus menunjukkan prestasi yang tidak baik.

Bolehkah TI CPI 2023 menjadi penghenti kemerosotan Malaysia dalam TI CPI dan menjadi permulaan perjalanan Malaysia untuk menjadi salah satu negara terbaik dunia dalam integriti awam dengan rasuah yang minima – dengan menyemai semangat ke dalam jiwa rakyat Malaysia untuk menegakkan nilai-nilai moral dan etika dengan perasaan hormat terhadap nilai-nilai keagamaan dan spiritual dari pelbagai kepercayaan utama seperti yang dicita-citakan dalam Wawasan 2020?