Skip to content

Apakah justifikasi Datuk Saravanan yang mengatakan Masyarakat India hidup dalam zaman keemasan di bawah pimpinan PM Datuk Seri Najib Tun Razak?

Saya amat tidak bersetuju dengan ucapan Datuk M.Saravanan yang mengatakan bahawa masyarakat India di negara ini berada di dalam ‘Zaman Keemasan’ di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Kenyataan yang dibuat olehnya dalam satu majlis perasmian di SJKT Bukit Jalil adalah tidak benar sama sekali. Masyarakat India bukanlah berada dalam zaman keemasan seperti dakwaannya.

Pada hakikatnya, masyarakat India hidup dalam keadan tidak tentu hala tuju di negara ini. Ramai juga telah membuat keputusan untuk menghantar anak-anak mereka ke luar negara untuk belajar dan terus berkhidmat di situ. Ramai juga dari kalangan mereka yang bijak pandai telah pun menjadi warganegara di negara-negara lain. Mereka hilang kepercayaan terhadap kerajaan Barisan Nasional yang mengamalkan dasar diskriminasi yang amat menonjol sekali.

Pemimpin-pemimpin kita harus ingat bahawa kenyataan-kenyataan seperti ini hanyalah menipu diri sendiri dan masyarakat India secara umumnya. Apakah kelebihan yang diperolehi oleh masyarakat India di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak? Pada pandangan saya tidak ada apa-apa yang berbeza malah lebih buruk lagi jika dibandingkan daripada zaman sebelum ini.

Masalah kad pengenalan merah masih tidak dapat diselesaikan lagi. Ramai diantara kaum India hidup kais pagi makan pagi. Masalah bangunan dan infra-struktur sekolah-sekolah Tamil masih tidak diselesaikan. Sekolah-sekolah bantuan modal masih kekal dan tidak ada usaha untuk menjadikannya sebagai sekolah-sekolah bantuan penuh. Tidak mudah untuk anak-anak mendapat tempat di program matrikulasi walaupun mempunyai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM. Sukar mendapat tempat di universiti-universti awam terutamanya dalam jurusan pilihan yang dikehendaki. Terlalu payah untuk mendapat biasiswa untuk belajar dalam negeri apatah lagi belajar di luar negeri. Mendapat pekerjaan di sektor awam adalah amat terhad. Kenaikan pangkat ke jawatan-jawatan tinggi bagi mereka yang berkhidmat di sektor awam adalah mustahil sekali. Diskirimasi dalam bidang sukan adalah amat nyata. Peluang untuk mendapat kontrak-kontrak kerajaan adalah sungguh tipis sekali. Bantuan atau pinjaman modal perniagaan juga sukar diperolehi. Ramai di kalangan ibu tunggal dan warga emas tidak mendapat bantuan kebajikan walaupun amat memerlukannya. Lambakan banduan-banduan dari kalangan kaum India mengatasi kaum-kaum lain di penjara. Penglibatan dalam kumpulan-kumpulan kongsi gelap dan samseng menjadi semakin ketara. Kematian dalam tahanan juga semakin menonjol dikalangan kaum India. Sukar untuk mendapat tanah bagi membuat pertanian dan penternakan.

Senarai ini boleh dipanjangkan lagi untuk membuktikan kaum India di negara ini masih hidup merana dan tertindas dari segi kemajuan sosio ekonomi. Kenyataan Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk M.Saravanan mengatakan ‘Zaman Keemasan’ adalah sesuatu yang pelik dan melucukan. Bagaimanakah kaum India boleh berada dalam zaman keemasan apabila meraka dilanda dengan begitu banyak masalah dan keperitan yang masih belum terselesai. Saya berharap pemimpin-pemimpin MIC tidak memberi gambaran dan fakta yang salah seolah-olah air setitik diluakkan, tanah sekepal digunungkan untuk mengelirukan kaum India.

Saya juga ingin menanyakan kepada Datuk M.Saravanan maksud ‘Zaman Keemasan’ yang beliau katakan itu. Adakah beliau menyatakan zaman-zaman sebelum ini terutamanya di bawah mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Muhammmad dan Mantan Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu merupakan ‘Zaman Kegelapan’ untuk masyarakat India?Adakah beliau cuba menegaskan bahawa Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang lebih handal daripada Tun Mahathir? Penjelasan ini adalah penting untuk memahami maksud beliau yang sebenar kerana kenyataanya itu mempunyai unsur perbandingan.

Pada pandangan saya, masyarakat India masih dalam zaman kegelapan. Selagi dasar diskriminasi wujud, masalah ini akan berlanjutan. Menyuluh lampu dalam kegelapan akan mencerahkan persekitaran untuk sementara waktu. Tetapi, kegelapan sebenar masih tetap wujud disebalik cahaya lampu suluh itu. Masyarakat India dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dan tertipu sekali lagi dengan janji-janji manis pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.