Skip to content

Apakah pendirian Parti Kuasa Rakyat berkenaan ‘Kertas Pandora’?

Parti Kuasa Rakyat yang baru ditubuhkan oleh Kamarazaman Yaakob kononnya berhasrat untuk membantu golongan miskin, tanpa mengira kaum dan bangsa. Apakah semangat marhaen itu diguna pakai untuk menarik minat sahaja? Menubuhkan sesebuah parti politik itu perlu ada agenda, visi dan misi yang jelas. Tanpa elemen-elemen ini, apakah nilai unik yang membezakan parti yang baru didaftarkan ini dengan parti-parti politik yang sedia ada di dalam kancah politik negara?

Baru-baru ini, masyarakat seantero dunia telah digemparkan dengan pendedahan berkenaan akaun-akaun persisir yang dimiliki oleh orang kaya di seluruh pelosok dunia dan orang-orang ternama di Malaysia jugak tidak lari daripada pendedahan tersebut. Pendedahan ‘Kertas Pandora’ ini bukanlah pendedahan yang calang-calang. Isu ini telah pun banyak kali diutarakan di Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim. Beliau mendesak agar isu ini dibincangkan di parlimen atas dasar kemungkinan pemindahan wang haram yang berlaku dalam negara. Malangnya, usul beliau ditolak di atas macam-macam alasan. Setiuasaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga telah menegaskan kepentingan untuk membahaskan isu ini di Parlimen. Isu pengaliran wang ke akaun persisir ini jelas merugikan negara dan tanpa siasatan dari pihak berwajib, peperangan melawan rasuah dari peringkat akar umbi menjadi lebih susah.

Persoalan di sini adalah apakah pendirian Parti Kuasa Rakyat berkenaan isu yang dibincangkan ini. Pengaliran wang ke akaun persisir ini bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng. Tatkala ekonomi negara sedang bergelut dan ramai orang hilang mata pencarian, individu kaya-raya tertentu di Malaysia sibuk menyimpan wang dan aset mereka yang bernilai jutaan dan berbilion ringgit di akaun-akaun persisir.

Sudah tiba masanya untuk pemimpim Parti Kuasa Rakyat mengkritik perbezaan kelas yang berlaku terang-terangan dengan lantang dan ‘call out’ individu-individu yang menindas orang miskin. Buktikan kepada rakyat Malaysia pengalaman-pengalaman Kamarazaman ditahan kerana memperjuangkan hak rakyat bukan usaha sia-sia! Beranikan diri dengan mengkritik perbuatan kerajaan yang salah dan jangan jadikan parti baru tersebut sebuah parti “Pak Turut”!