Pada bulan Ogos yang lepas, laman web Asia Sentinel telah melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bercuti secara misteri di Eropah selama 2 minggu selepas sidang medianya di Amsterdam pada 1 Ogos 2014 berkenaan tragedi MH17. Laporan tersebut mengatakan bahawa beliau menggunakan pesawat peribadi dalam penerbangan ke Belanda dan tidak ada sebarang maklumat berkenaan jadual lawatan beliau dalam tempoh 2 minggu tersebut.
Laporan tersebut tidak dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri dan pertanyaan oleh pihak media berkenaan jadual lawatan tersebut tidak dijawab oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.
Maka, untuk mengesahkan laluan penerbangan pesawat yang membawa Perdana Menteri dalam tempoh tersebut, saya telah mengemukakan soalan Parlimen seperti berikut:
Tuan Loke Siew Fook (Seremban) minta PERDANA MENTERI menyatakan butiran terperinci semua laluan penerbangan yang telah dijalankan oleh pesawat pengangkut VIP Airbus A319CJ dengan pendaftaran 9M-NAA milik TUDM dari 1 hingga 15 Ogos 2014, tujuan penerbangan tersebut, senarai penumpang dan butiran kos secara terperinci untuk tempoh tersebut
Jawapan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan bin Kassim berbunyi;
Untuk makluman Ahli Dewan, pesawat tersebut membawa YAB Perdana Menteri dan isteri serta delegasi beliau ke Belanda bagi tujuan lawatan rasmi. Lawatan ini diadakan bagi membincangkan penyelesaian kepada tragedi MH17.
Pesawat yang membawa YAB Perdana Menteri tersebut merupakan pesawat rasmi Kerajaan di mana ia digunakan atas urusan YAB Perdana Menteri. Segala kos yang terlibat dalam penerbangan tersebut adalah di dalam anggaran yang bersesuaian dengan perkhidmatannya.
Yang pertamanya, Jabatan Perdana Menteri meneruskan taktik untuk merahsiakan maklumat berkenaan butiran kos terhadap perbelanjaan awam yang melibatkan Perdana Menteri daripada pengetahuan umum. Soalan-soalan yang ditujukan oleh Ahli Parlimen tidak dijawab secara telus. Apakah Putrajaya kini mengamalkan dasar “kerahsiaan” dalam semua isu yang dianggap boleh menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan imej Perdana Menteri?
Yang keduanya, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Belanda hanya berlangsung sehari iaitu pada 1 Ogos 2014. Selepas itu, tidak ada sebarang rekod berkenaan jadual lawatan beliau secara rasmi dalam tempoh 2 minggu. Apakah percutian beliau juga dianggap sebagai urusan rasmi dan pesawat rasmi kerajaan digunakan untuk tujuan bercuti? Persoalan pokok yang perlu dijawab oleh Datuk Seri Najib ialah apakah pembayar cukai perlu menanggung perbelanjaan untuk percutian peribadi beliau dan rombongannya? Sekiranya melibatkan perbelanjaan awam, rakyat berhak mengetahui kos perbelanjaannya dan kewajarannya dipersoalkan.
Yang ketiga, mengapakah Datuk Seri Najib tidak sudi mengunakan penerbangan MAS dalam lawatannya ke luar negara, sama ada jauh ke Belanda mahupun dekat ke Singapura? Sebagai Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib sepatutnya menunjukkan teladan dengan memberikan sokongan dan keyakinan terhadap MAS terutamanya pada masa MAS menghadapi krisis keyakinan yang begitu mencabar akibat daripada tragedi berkembar MH370 dan MH17!