Skip to content

Apakah tindakan yang akan diambil terhadap Mohd Razlan Rafii kerana menyebabkan Pasar Sipitang ditutup?

Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan mesti menyatakan tindakan apa yang akan diambil terhadap ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Razlan Rafii, yang telah disahkan positif COVID-19, kerana melanggar protokol keselamatan COVID-19 dengan gagal memakai pelitup muka. Kegagalannya memakai pelitup muka dan jangkitan COVID-19 telah menyebabkan pasar Sipitang di Sabah ditutup setelah Mohd Razlan menyertai dua calon tempatan untuk kempen meraih undi di pasar tersebut.

Walaupun DAP mengharapkan Mohd Razlan selamat dan cepat sembuh dari jangkitan COVID-19, tindakan mesti diambil oleh pihak berkuasa kerana kegagalannya mematuhi syarat memakai pelitup muka. Tambahan pula, tindakan Mohd Razlan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan pasar Sipitang ditutup “daripada 21 September sehingga notis lanjut” oleh Majlis Daerah Sipitang. Ini telah menyebabkan kehilangan pendapatan dan mata pencarian kepada penjaja tempatan. Bagaimana penjaja tempatan akan diberi pampasan atas kerugian kewangan mereka?

Apa gunanya Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan meminta orang ramai memakai pelitup muka setiap masa, ketika pemimpin parti mereka sendiri gagal mematuhi dan menunjukkan kepimpinan melalui teladan? Tindakan tegas harus diambil terhadap Mohd Razlan, untuk membuktikan bahawa kerajaan serius dan komited untuk mencegah lonjakan kedua jangkitan COVID-19 daripada terjadi, seperti yang berlaku di banyak negara asing.

Rakyat Malaysia tidak mahu melihat berulangnya peristiwa layanan “antara dua darjat” antara VIP dan rakyat biasa. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali diberi layanan “manja” dan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak mematuhi arahan kuarantin 14 hari di rumah atau memakai gelang merah jambu, setelah kembali dari lawatan peribadi / separa rasmi ke Turki. Sebaliknya seorang wanita tua Melayu berusia 72 tahun didakwa di mahkamah dan didenda RM8,000 dan penjara sehari untuk kesalahan serupa.

Dasar “antara dua darjat” dengan hukuman yang lebih ringan untuk Menteri VIP dan hukuman yang lebih berat untuk rakyat biasa, secara terbuka menghina dan melanggar jaminan perlembagaan negara iaitu layanan saksama di depan undang-undang. Seperti dalam kes ini, rakyat Sabah yang dihukum kerana melanggar peraturan kesihatan COVID-19 juga akan menuntut hukuman setimpal terhadap seorang VIP dari Semenanjung Malaysia yang mengunjungi Sabah.