Skip to content

Apakah yang tidak profesional dengan permintaan saya supaya Sidang Dun tergempar diadakan untuk membahas keputusan Mahkamah Majistret Ipoh bahawa terdapat unsur jenayah dalam skima penyusunan Perak Corporation Berhad(PCB)?

Mahkamah Majistret Jenayah (3) Ipoh pada 19 September 2022 telah memutuskan bahawa terdapat unsur jenayah dalam skima penyusunan Perak Corporation Berhad(PCB) dan mengarahkan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Berikutan keputusan mahkamah ini, semalam saya telah menghantar surat rasmi ke Pejabat Menteri Besar Perak untuk meminta Menteri Besar Perak Dato’ Saarani memanggil satu Sidang Dun Perak tergempar dalam masa terdekat untuk membahas isu penting ini yang membabitkan kepentingan awam. Semalam saya juga telah bertemu dengan Yang Dipertua DUN Perak Dato Zahir untuk menghantar salinan surat kepadanya. Beliau memaklumkan bahawa akan meminta pandangan dari penasihat undang-undang negeri mengenai permintaan saya.

Saya mengambil maklum respon Dato’ Seri Saarani bahawa permintaan saya untuk mengadakan Sidang Dun tergempar adalah tidak profesional.

Berdasarkan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Perkara 8.

“Dengan syarat bahawa dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan, dan dalam keadaan demikian notis itu hendaklah dikeluarkan seberapa segera yang boleh.”

Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak telah memberi kuasa kepada Menteri Besar Perak untuk memanggil Sidang Dun Tergempar tanpa sebarang notis.

Pada awal tahun ini, Perdana Menteri telah memanggil satu Sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan bencana banjir pada 20 Januari 2022 selepas digesa oleh beberapa pihak termasuk ahli-ahli parlimen pembangkang dan juga pihak kerajaan, malah Presiden UMNO sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menyeru supaya Sidang Khas Parlimen diadakan untuk menangani masalah banjir.

Adakah Dato’ Seri Saarani juga akan melabel permintaan presiden parti sendirinya sebagai tidak profesional kerana menggesa Perdana Menteri supaya Sidang Parlimen Khas diadakan pada awal tahun ini? Apakah yang tidak profesional dengan permintaan saya supaya Sidang Dun tergempar diadakan untuk membahas keputusan Mahkamah Majistret Ipoh bahawa terdapat unsur jenayah dalam skima penyusunan Perak Corporation Berhad(PCB)?

Oleh kerana PKNP mempunyai 52% saham dan merupakan pemegang saham majority dalam PCB, ini memberi Dato’ Seri Saarani selaku Pengerusi PKNP kuasa mutlak untuk melantik dan memecat lembaga pengarah PCB sekiranya terdapat kesalahan jenayah yang dilakukan.

Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya RM33 juta yang dihutang oleh PCB kepada agensi-agensi dan anak-anak syarikat kerajaan termasuk PKNP, Pejabat Tanah Galian, Perbendaharaan Negeri Perak dan juga beberapa PBT yang dimasukkan ke dalam skima penyusunan yang kini telah disahkan oleh mahkamah terdapat unsur jenayah.

Terdapat juga kenyataan-kenyataan yang telah dibuat dalam Sidang Dun Perak yang lepas di mana kini didapati bercanggah dengan keputusan mahkamah bahawa terdapat unsur jenayah dalam skima penyusunan PCB. Demi mempertahankan kemuliaaan Dewan, Sidang Dun tergempar wajar diadakan dengan kadar segera untuk membetulkan dan menarik balik kesemua kenyataan yang tidak tepat ini.

Memandangkan isu unsur jenayah dalam skima penyusunan PCB membabitkan kepentingan awam, saya berharap Dato’ Seri Saarani boleh bertindak secara profesional dan rasional dan memanggil satu Sidang Dun tergempar selaras dengan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan untuk membahas dan menangani isu ini dengan kadar segera.