Penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai satu-satunya cara dalam menguruskan Covid-19 menerusi fungsinya di aplikasi itu adalah amat bertentangan dengan konsep “Keluarga Malaysia” kerana jelas masih ramai rakyat kita yang tertinggal untuk penggunaan aplikasi ini khasnya warga emas yang tidak mahir menggunakan telefon pintar dan golongan B40 yang mungkin tidak mampu untuk mempunyai telefon itu atau memiliki lebih satu telefon untuk satu rumah.
Laksanakan Token Digital atau Alternatif Bagi Golongan Yang Kurang Kemampuan Teknologi
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa, sesiapa yang hendak memasuki pasaraya, kedai serbaneka atau lain-lain premis kedai runcit perlu mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera mereka, dan menunjukkan risiko Covid-19 mereka serta status vaksinasi sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam premis berkenaan.
Bagaimanapun, ramai warga emas, meskipun mereka sudah lengkap dua dos vaksin, telah dihalang untuk memasuki premis tersebut kerana mereka tidak mempunyai telefon pintar yang boleh memuatnaik aplikasi MySejahtera. Kebanyakan dari mereka mendaftar vaksinasi menerusi sistem tanggungan iaitu dari telefon pintar anak atau cucu mereka dimana mereka juga masih menggunakan telefon lama tanpa ada fungsi internet.
Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merancang dan tampil dengan alternatif yang memungkinkan golongan masyarakat ini hidup dalam keadaan normal walaupun tanpa memiliki telefon pintar. Ini mungkin dapat dibuat dalam bentuk rantai kunci seperti token digital bagi pengesahan status vaksinasi mereka yang mana ia juga mudah dibawa dan senang dimasukkan ke dalam poket yang memungkinkan seseorang mengimbas atau mendaftar masuk sebelum memasuki mana-mana kedai. Dengan kemajuan teknologi semasa, saya pasti kita dapat memberikan alternatif untuk kumpulan golongan ini.
Akibatnya, berikutan ketegasan kerajaan untuk bergantung sepenuhnya kepada aplikasi MySejahtera untuk kesemua fungsi berkaitan Covid-19, ramai warga emas di negara ini berhadapan kesukaran kehidupan harian antaranya mereka tidak dapat masuk ke dalam pasaraya untuk membeli barangan dapur atau pergi ke kedai serbaneka jiran terdekat untuk membeli makanan untuk mereka atau anak mereka. Secara tiba-tiba mereka berhadapan isu untuk tidak dapat memasak untuk keluarga mereka dan tidak dapat membantu keluarga mereka.
Dalam hal yang sama, ramai keluarga golongan B40 tidak mampu menyediakan telefon pintar untuk semua orang dalam rumah mereka. Akibatnya, ahli keluarga yang tidak mempunyai telefon pintar dengan aplikasi MySejahtera juga berhadapan isu sama dengan warga emas berkenaan.
Adalah sangat tidak adil untuk memberitahu kepada golongan ini bahawa mereka tidak boleh pergi ke mana-mana hanya kerana mereka tidak mempunyai telefon pintar yang boleh memuat naik aplikasi MySejahtera. Adalah tidak mudah untuk seseorang berusia 70 atau 80 tahun untuk menggantikan telefon lama yang mereka biasa gunakan kepada jenama telefon pintar yang baharu. Dan dalam hal yang sama, juga tidak adil untuk memaksa keluarga yang berpendapatan rendah untuk mempunyai telefon pintar bagi setiap dari ahli keluarga mereka semata-mata hanya untuk mempunyai aplikasi MySejahtera. Beban kewangan sudah pasti akan bertambah dan dipikul.
Ini juga bersamaan dengan bentuk diskriminasi berdasarkan umur, kemampuan teknologi dan kemampuan kewangan untuk memiliki telefon pintar.
Meskipun kami tidak mempunyai isu untuk menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai alat utama membantu untuk menjejaki atau menunjukkan risiko Covid-19 dalam usaha kita melawan pandemik ini, pada masa yang sama, kita mesti menunjukkan empati dan belas kasihan terhadap mereka yang tidak memiliki telefon pintar untuk melakukan daftar masuk atau kemas kini status yang diperlukan. Setiap rakyat Malaysia penting dalam krisis ini, dan kita tidak boleh bersikap “berdarah dingin” dan membuat golongan masyarakat kita yang rentan merasa tidak diinginkan atau diperlukan.