Skip to content

Azhar Harun perlu menjelaskan mengapa tidak ada usul yang berkaitan dengan undi percaya dan pemilihan Speaker baru dalam Aturan Urusan Parlimen

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun perlu menjelaskan mengapa tidak ada usul yang berkaitan dengan undi percaya terhadap Perdana Menteri yang baru Ismail Sabri dan pemilihan Speaker baru dalam Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen ketika Parlimen bersidang minggu depan. Sekali lagi Azhar gagal menunaikan tugas perlembagaannya untuk menegakkan ketinggian, kesucian dan kedaulatan Parlimen serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan Yang di-Pertuan Agong, ketika dihadap oleh semua ketua parti politik di Istana Negara pada 17 Ogos, yang turut dihadiri oleh Speaker sendiri dan abangnya Peguam Negara, telah bertitah bahawa usul undi percaya di Parlimen mesti diadakan setelah Perdana Menteri yang baru dilantik. Malangnya, Peguam Negara telah memilih untuk secara terang-terangan derhaka dan melanggar titah Agong dengan menyatakan secara terbuka dalam kenyataan awam yang dikeluarkan sendiri bahawa tidak perlu undi percaya kerana ia akan menidakkan kuasa Agong untuk melantik Perdana Menteri.

Menggunakan logik bahawa undi percaya akan menidakkan kuasa Agong untuk melantik Perdana Menteri sukar difahami ketika Yang DiPertuan Agong sendiri telah mengeluarkan titah bahawa usul undi percaya itu perlu diadakan di Parlimen. Jelas Peguam Negara telah menunjukkan dirinya sebagai alat politik yang tidak layak dan hilang kelayakan untuk memegang jawatan yang disandangnya sekarang.

Azhar juga memilih untuk mengikuti jejak abangnya bukan dengan kata-kata tetapi melalui tindakan secara tidak langsung dengan tidak menasihati kerajaan baru untuk mengemukakan usul undi percaya yang dia dengar sendiri daripada titah Yang DiPertuan Agong. Tambahan pula, tiada usul pemilihan Speaker baru ketika Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan usul untuk memilih Azalina Othman Said sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baru.

Tidak boleh dinafikan bahawa Azhar telah mengecewakan ramai Ahli Parlimen dengan prestasinya yang buruk kerana gagal menjunjung ketinggian Parlimen, bebas daripada perintah eksekutif, tetapi juga kederhakaan dan ketidaktaatan terbuka kepada Yang DiPertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen semasa Darurat. Azhar perlu memberi penjelasan mengenai kedua-dua perkara penting ini bagi memastikan Parlimen dibenarkan memainkan peranan semak dan imbang yang baik dalam penumpuan kepada pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.