Skip to content

Bagaimana 4 Ahli Majlis PAS boleh berkhidmat untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan efektif jika parti mereka telah memutuskan hubungan dengan saya dan Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang merangkap EXCO Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow?

PAS tidak perlu bersembunyi sebagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersembunyi dari Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai skandal 1MDB, tetapi harus berani bertanggungjawab sepenuhnya kerana menamatkan hayat PR, apabila Muktamar PAS menerima tanpa bahas usul oleh Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Secara logiknya PAS harus mengarahkan wakil kerajaan mereka untuk meletakkan jawatan kerana mereka tidak lagi sebahagian daripada PR.

Keengganan kepimpinan PAS yang baru untuk mengarahkan wakil-wakil kerajaan mereka meletakkan jawatan dan tindakan 4 Ahli Majlis PAS dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai mempertahankan kedudukan mereka sangat memalukan, telah merendahkan maruah dan penghormatan kepada PAS di mata orang ramai. Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung DAP, PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah secara efektifnya bererti memutuskan hubungan dengan saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagaimana mungkin untuk 4 Ahli Majlis PAS berkhidmat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dengan efektif apabila parti mereka telah memutuskan hubungan dengan DAP, bukan hanya dengan saya tetapi juga Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang merangkap EXCO Kerajaan Tempatan Pulau Pinang Chow Kon Yeow? Malah bekas Timbalan Presiden mereka, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen dan bekas ahli Jawatankuasa Pusat Mujahid Yusof Rawa telah meletakkan jawatan mereka di Pulau Pinang untuk mematuhi usul Muktamar PAS ini, iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, walau apa pun alasannya.

Dalam usaha mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka untuk mewajarkan mengapa 4 ahli majlis dan pemimpin PAS lain yang masih sedaya upaya mempertahankan jawatan mereka, Naib Presiden PAS yang baru Idris Ahmad kini menggunakan hujah ekstremisme dan perkauman yang mendakwa cadangan saya untuk wakil kerajaan PAS meletakkan jawatan menyebabkan persepsi negatif terhadap DAP dalam kalangan orang Melayu. Adalah dikesali apabila PAS berkelakuan seperti UMNO, sedangkan saya telah mengumumkan sebelum ini bahawa mana-mana jawatan yang dikosongkan oleh PAS akan diisi oleh orang Melayu yang menyokong pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh saya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang bercakap tentang kerajaan perpaduan dengan UMNO, mengisytiharkan bahawa UMNO bukan lagi “Firaun” sebagaimana serangan mereka terhadap UMNO dalam ceramah PAS sebelum ini. Mohamad Sabu berkata UMNO sebenarnya gembira dengan keputusan Muktamar PAS tahun ini, dengan Najib juga mengalu-alukan prospek bekerjasama dengan PAS.

Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan ahli biasa PAS di Pulau Pinang. Malangnya, kepimpinan PAS yang baru dan penyokong mereka di Pulau Pinang yang masih tanpa segan silu memegang jawatan kerajaan negeri, walaupun menerima usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP yang secara langsung atau tidak langsung berfungsi untuk melemahkan kerajaan negeri PR Pulau Pinang yang diketuai oleh saya dan terdiri daripada Exco negeri DAP yang lain. Jelas kepimpinan PAS yang baru bukan sahaja kehilangan kehormatan mereka, tetapi juga prinsip-prinsip mereka.

Mujurlah masih ada pemimpin PAS yang mulia yang telah meletakkan jawatan walaupun keengganan kepimpinan baru PAS menuruti tindakan mereka menamatkan hayat PR, seperti Mohamad Sabu dan Mujahid yang telah mengemukakan perletakan jawatan mereka. Berikutan surat peletakan jawatan Mohamad Sabu sebagai Pengarah PBA Holdings pada 8 Jun 2015, pengumuman awam dibuat oleh PBA Holdings kepada Bursa Malaysia mengikut keperluan penyenaraian. Saya telah menerima peletakan jawatan lain dari ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Ustaz Rosidi Hussain daripada kedudukannya sebagai pengarah Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang. Ini adalah pemimpin PAS yang berprinsip, yang menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang bukan kerana jawatan tetapi kerana iltizam mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.