Saya merujuk kepada ciapan saya dan maklum balas yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 18 Jun 2021 mengenai cadangan pembangunan dua (2) blok pangsapuri Residensi Wilayah (810 buah unit) di atas Lot 2562, Segambut, Mukim Batu, Kuala Lumpur. Cadangan pembinaan projek pembangunan pangsapuri mampu milik ini mahu mengubah nisbah kepadatan penduduk kepada 1000 penghuni per ekar. Berdasarkan syarat perancangan, pemilik tanah di sekitarnya boleh mengemukakan pandangan mereka mengenai pembangunan ini.
Seluruh negara kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun 2021. Saya telah membangkitkan perkara ini melalui Twitter kepada DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan mengenai tempoh masa proses ini dijalankan. Pihak DBKL memberikan maklum balas dengan menyatakan mereka telah menaikkan dua (2) iklan dalam akhbar tempatan pada 6-8 Jun 2021 dan mereka telah memasang papan tanda di tapak cadangan pembinaan. DBKL memohon pemilik tanah di sekitarnya untuk menyatakan pandangan sebelum 21 Jun 2021. Dalam kenyataan media mereka, DBKL juga gagal menyatakan nama pemohon cadangan pembangunan ini (walaupun Kementerian Wilayah giat mempromosikan Residensi Wilayah ini dalam laman sesawang mereka). Penduduk begitu risau melihatkan perubahan yang ketara di kawasan kejiranan mereka sedangkan tidak ada penyelesaian daripada DBKL berkenaan isu lalu lintas dan kesesakan jalan raya di sana.
Semasa tempoh pelaksanaan PKP ini, Kerajaan Perikatan Nasional telah mengurangkan waktu perkhidmatan mereka di pejabat-pejabat kerajaan, ramai yang telah ditangguhkan temu janji mereka untuk pelbagai urusan di kaunter, perniagaan diarahkan tutup, perkhidmatan kesihatan komplementari tidak dibenarkan beroperasi sebaliknya Kerajaan PN boleh pula membenarkan proses bagi mendapat maklum balas orang awam untuk sebuah pembangunan yang begitu besar sedangkan rakyat diarahkan untuk duduk di rumah. Untuk mendapatkan penglibatan penduduk dengan lebih berkesan, kepercayaan, maklumat yang mencukupi dan peluang yang adil untuk mereka memberikan maklum balas adalah syarat paling asas untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengadakan libat urus dengan penduduk. Tindakan seperti yang didakwa ini dijalankan ketika penduduk dihalang pergerakan mereka semasa PKP untuk menyatakan pandangan seolah-olah tidak menghormati pembayar cukai.
Sebagai Ahli Parlimen Segambut, saya menggesa DBKL segera menghentikan proses ini sehingga negara tidak lagi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Pemulihan (PKPP). DBKL tidak boleh membuat keputusan secara tiba-tiba begini.