Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri perlu berani berhadapan dan menjawab segala dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan tidak boleh hanya menyorok disebalik monitor komputer dan sekadar hebat dibalik “papan kekunci”.
Kebelakangan ini Perdana Menteri telah dihujani dengan pelbagai tuduhan skandal dan dakwaan namun apa yang menghairankan, beliau tidak menggunakan ruang yang sedia ada di parlimen untuk menjawab dan menjelaskan segala konflik dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tetapi dilihat lebih selesa mendepani segala tomahan di alam maya. Sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan, sikap beliau tidak dapat diterima sama sekali.
Dalam masa yang sama, beliau juga sangat jarang menghadirkan diri ke Parlimen kecuali dalam masa-masa tertentu seperti perbentangan belanjawan sebagai Menteri Kewangan atau perbentangan Rancangan Malaysia.
Dalam tahun pertama saya dipilih sebagai Ahli Parlimen, saya hanya melihat beliau hadir ke Parlimen bagi dua majlis sahaja iaitu semasa majlis pembukaan sidang dewan di awal tahun dan semasa akhir tahun untuk membentangkan belanjawan. Taman saya Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa telah mendedahakan, dalam tempoh 6 tahun bersamaan 368 hari persidangan Dewan Rakyat, Najib hanya hadir sebanyak 26 hari iaitu sekitar 7% kehadiran sahaja.
Dengan prestasi buruk kehadiran Najib ke Dewan Rakyat , saya merasakan bagaimana beliau boleh mentransformasi Malaysia sedangkan beliau sendri bersikap “tidak membangun”. Sebuah negara yang maju bukan sekadar memerlukan ekonomi yang baik tetapi juga berkait rapat dengan kemajuan dalam bidang politik. Sudah tiba masanya politi Malaysia direformasikan atau, kita tidak akan mampu menjadi sebuah negara maju.
Prestasi kehadiran yang buruk amat memalukan Najib sebagai ketua kerajaan namun beliau kelihatan tidak mempedulikannya dan menjadi “pahlawan papan kekunci” dibalik monitor computer.
Saya faham, saya tidak memperkecilkan cara beliau menjawab segala dakwaan atau memberikan pandangan dengan cara tersebut kerana setiap orang memiliki kebebasan tetapi saya percaya rakyat Malaysia mahu melihat pemimpin nombor satu mereka mendepani segala dakwaan dengan berani dan membuktikan dirinya tidak bersalah dengan cara yang lebih meyakinkan.
Baru-baru ini mantan Perdana Menteri Tun Mahathir secara berterusan menyerang Najib berhubung isu RM42 bilion melibatkan 1MDB dan kes pembunuhan Altantuya. Apabila rakyat menantikan jawapan Najib, beliau hanya menggunakan laman web untuk menafikan segala tuduhan yang kelihatanyan tidak meyakinkan.
Baru-baru ini juga Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menghantar perletakan jawatan beliau. Ia kerana cadangan untuk mereformasikan Parlimen dengan konsep yang dipanggil “Primen Minister Question” tidak terlaksana. Idea ini bukanlah sebuah idea baharu bagi kebanyakan negara demokrasi terutamanya UK, Kanada, Australia dan New Zealand yang melaksanakan tradisi tersebut.
Sistem demokrasi berperlembagaan Malaysia diwarisi dari sistem Westminister UK dan saya amat bersetuju dengan cadangan Speaker Tan Sri Pandikar. Di UK, perdana menteri akan meluangkan masa 30 minit untuk menjawab pertanyaan yang dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen setiap hari Rabu sebelum pembukaan House of Commons. Saya berpandangan, Perdana Menteri Malaysia perlu mencontohi perkara ini berdepan dengan segala persoalan yang timbul dari Ahli-ahli Parlimen meskipun jika ia dipersoal oleh orang awam.
Sudah tentu, dengan rekod kehadiran buruk oleh Perdana Menteri Najib ke Parlimen, niat Speaker Tan Sri Pandikar untuk melaksanakan konsep Prime Minister’s Question akan menambahkan lagi kepayahan kerana sikap negative Perdana Menteri sendiri.
Jika Najib tidak boleh melaksanakan tugasnya dengan baik iaitu membincangkan isu-isu nasional di Parlimen, bagaimana kita boleh berharap beliau memahami masalah rakyat? Sabah misalnya merupakan negeri yang terus ketinggalan dan akan terus ketinggalan.