Skip to content

Bagaimana pembunuhan tebusan Malaysia menjadi manifestasi kegagalan kerajaan atasi isu PATI di Sabah

Kerajaan Malaysia perlu segera menjalankan siasatan dan membanteras ‘orang dalam’ yang dilihat menjadi punca ‘kejayaan penculikan’ setiap kali berlakunya insiden tersebut. Ini bukanlah dakwaan kosong semata-mata.

Saya ingin merujuk kepada laporan Bernama pada Mei lalu yang melaporkan pendedahan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. Beliau mendedahkan wujud kemungkinan besar penglibatan ‘orang dalam’ dalam penculikan dua warga Malaysia di restoran Ocean King Sandakan.

Insiden penculikan di Restoran Ocean King, Sandakan pada 14 Mei 2015 yang lalu berlaku di lokasi yang tidak di duga kerana bukan dalam ‘kawasan panas’ yang di pantau pasukan ESSCom malahan penculik seperti tahu mangsa sasarannya.

Adakah ‘orang dalam’ ini bersekongkol untuk mendapat habuan dari wang tebusan yang bakal diperolehi kelak?

Kini, segalanya telah terlambat, walau pun salah seorang mangsa puan Thien Nyuk Fun telah dibebaskan penculik, namun, seorang lagi mangsa Bernard Ghen Ted Fen warga Sarawak telahpun dibunuh dengan kejam.

DAP Sabah mengucapkan takziah dan turut bersedih di atas pembunuhan tebusan Malaysia mendiang Bernard Then yang dilaporkan dipancung baru-baru ini. Insiden ini sememangnya amat menggemparkan dan memalukan kerajaan Malaysia kerana dilihat gagal menangani isu pencerobohan asing yang kerap dilaporkan sejak sekian lama. Lebih mendukacitakan jika ianya melibatkan ‘orang dalam’.

Bukan yang pertama

Penculikan dan pembunuhan rakyat Malaysia oleh pengganas dari negara jiran bukanlah yang pertama.Pencerobohan Lahad Datu telah mengorbankan 10 pasukan keselamatan Malaysia dalam Ops Daulat pada Februari 2013. Pada bulan Julai 2014, seorang anggota Marin Koperal Ab Rajah Jamuan telah dibunuh dalam satu serangan hendap di Pulau Mabul manakala Lans Koperal, Zakiah Aliep pula telah diculik kumpulan bersenjata di salah sebuah pulau peranginan sekitar Pantai Timur Sabah.

Sebelum itu, saya juga ingin mengimbas kembali tahun 2000 ababila seramai 21 tebusan pelancong asing diculik di Pulau Sipadan Sabah. Ia Kemudian disusuli dengan insiden yang sama di Pulau Pom Pom dan Pulau Singamata.

Insiden pencerobohan, penculikan dan pembunuhan ini berlaku dalam tempoh masa yang dekat antara satu sama lain. Kerajaan kemudian melalui Jabatan Perdana Menteri dilihat begitu bersungguh-sungguh meningkatkan keselamatan Pantai Timur Sabah dengan menubuhkan Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah atau ESSCom dan menyalurkan peruntukan yang banyak kepada pasukan itu.

Pasukan ESSCom dengan peruntukan sebanyak hampir RM700 juta yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pantai timur Sabah. Dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini, ESSCom mendapat peruntukan sebanyak lebih RM16.4 juta bagi anggaran perbelanjaan pada tahun hadapan 2016.

Atasi segera isu PATI dengan komitmen politik

Sebagai warga Sabah, saya berterima kasih dengan kesungguhan kerajaan menubuhkan pasukan keselamatan yang bertujuan menjamin keselamatan Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.

Namun, persoalan terbesar adakah isu keselamatan Sabah akan dapat diselesaikan dengan baik tanpa kesungguhan politik kerajaan? Kebarangkalian insiden pencerobohan, penculikan dan sebagainya untuk berulang adalah besar jika kebanjiran PATI di Sabah tidak dapat dibendung. Lebih menyedihkan, kita didedahkan dengan kewujudan projek IC.

Tanpa menguruskan isu Pendatang Asing Tanpa Izin dengan baik, saya percaya pencerobohan dan penculikan akan lebih mudah berlaku.
Sebagimana yang kita maklum, tragedi berdarah pencerobohan Lahad Datu diketuai ‘rakyat’ Malaysia sendiri iaitu Azzimuddie Kiram yang dikenali sebagai Raja Muda Sulu yang mempunyai kad pengenalan warganegara Malaysia malah pernah berkhidmat sebagai penjawat awam pada 1 Mac 1974 sebagai Pegawai Pentadbir Muda (ADO), di Pejabat Daerah Kudat.

Adakah pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah menjadi lebih mudah kerana ramai PATI yang tidak terkawal atau yang lebih menakutkan, PATI yang secara mudah memperolehi IC dan malang lagi apabila ‘projek IC’ seperti pendedahan Laporan RCI Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah bertujuan politik?

Rentetan insiden ini, kita juga perlu memberi perhatian terhadap rangkaian militan antarabangsa Negara Islam Irak dan Syria (ISIS). Tidak syak lagi, Sabah berhadapan dengan ancaman yang lebih besar apabila Kumpulan militan Abu Sayyaf telah mengisytiharkan sokongan mereka kepada kumpulan militan ISIS itu.

Gejala ‘orang dalam’ yang mungkin dimotivasi elemen rasuah sama ada melibatkan rakyat Malaysia, pasukan keselamatan mahupun PATI perlu diberi perhatian tegas. Saya amat mengharapkan sebuah tindakan kerajaan tanpa bias dan diskriminasi untuk mengatasi perkara ini demi masa depan Sabah dan Malaysia yang selamat, maju dan harmoni.