DAP mengecam sikap sambil lewa kerajaan terhadap kejatuhan nilai ringgit yang baru-baru ini turun ke paras terendah sepanjang 24 tahun iaitu RM 4.65 kepada dolar AS. Kerajaan berhujah yang penurunan ringgit bukan satu masalah besar kerana mata wang lain jatuh lebih teruk atau penurunan ringgit hanya bersifat sementara. Ini adalah salah dan tidak jujur, menutup mata akan bebanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat dan para peniaga akibat ringgit yang lemah.
Kejatuhan nilai ringgit bukan bersifat sementara apabila nilainya terus merosot melebihi 11% tahun ini berbanding dolar AS sejak 1.1.2022. Ringgit juga telah mejatuh berbanding mata wang rakan dagangan utama kita sebanyak lebih 4% berbanding rupiah Indonesia dan jatuh ke paras terendah bersejarah RM 3.26 kepada dolar Singapura. Lebih membimbangkan bagaimana kejatuhan ringgit berbanding dolar AS tidak masalah besar sedangkan 80% daripada eksport dan import kita di invois dalam dolar AS?
Perdagangan sektor perkhidmatan Malaysia merekodkan defisit tertinggi sebanyak RM60.7 bilion pada 2021. Ringgit yang lemah pasti akan memberi kesan kepada memperbaiki defisit perdagangan sektor perkhidmatan tahun ini. Perlu diingat bahawa bil import makanan kita bernilai RM63 bilion tahun lepas dengan nilai terendah dalam 24 tahun ringgit berbanding dolar AS sudah pasti merupakan masalah besar dengan kesan negatif kepada harga makanan yang ditanggung oleh rakyat. Tetapi semua kebimbangan rakyat yang menuntut penyelesaian daripada pemimpin kerajaan tenggelam dalam jeritan dan pekikkan menuntut pilihan raya umum awal tahun ini.
Kenyataan UMNO semalam hanya fokus sepenuhnya untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini dengan apa cara sekalipun, tanpa menghiraukan kesusahan ekonomi dan kesusahan hidup yang dihadapi oleh rakyat dan perniagaan, khususnya PKS. Tidak langsung disebut tentang mengutamakan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat kenaikan harga dan kejatuhan nilai ringgit selain memastikan semua sumber dimanfaatkan untuk menghadapi banjir teruk yang dijangka pada musim tengkujuh.
UMNO telah melepaskan peluang keemasan untuk menunjukkan yang mereka prihatin tentang kepentingan rakyat dengan tidak mengecam kegagalan Annuar Musa untuk mengekang inflasi dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi. Sekurang-kurangnya UMNO wajar menuntut Annuar sama ada meletakkan jawatan atau meminta Perdana Menteri Ismail Sabri mengambil alih jawatan pengerusi.
Annuar dilantik sebagai Pengerusi pada Jun, ketika Indeks Harga Pengguna (IHP) dan inflasi makanan masing-masing berada pada paras 3.4% dan 6.1%. Selepas 2 bulan, IHP dan inflasi makanan tidak surut tetapi sebaliknya meningkat kepada 4.7% dan 7.2% masing-masing pada bulan Ogos, menunjukkan ketidakberkesanan dan kegagalan Annuar melawan inflasi.
Berikutan kegagalan Annuar membendung inflasi, Bank Negara telah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%. Akibatnya rakyat terpaksa membayar peminjaman yang lebih tinggi kerana kegagalan Annuar dan keadaan hanya akan lebih buruk. Bank Negara tidak yakin dengan keupayaan Annuar untuk melawan inflasi dan dijangka menaikkan OPR dalam dua mesyuarat seterusnya pada November tahun ini dan Januari tahun depan kepada sekurang-kurangnya 3% atau lebih tinggi. Adakah UMNO peduli yang kini rakyat perlu membayar lebih?