Skip to content

Bahagian 1 – Ekonomi penjagaan

Bahagian 1 – EKONOMI PENJAGAAN

Ada ketika, kita terpaksa berada di dalam persimpangan dilema untuk memilih antara masa depan dan tanggungjawab. Manifestasinya wujud dalam pelbagai keadaan, antaranya untuk memilih kerjaya atau segulung ijazah, dan pengorbanan untuk menjaga ibu ayah yang sakit melarat di rumah.

Seorang anak bujang yang berhempas pulas menyara keluarga besarnya, pasti akan berhadapan dilema ini apabila ibu atau ayahnya disahkan menghidap menyakit kronik. Seorang anak yang sedang menuntut pelajaran, juga akan menghadapi dilema yang sama. Mereka terpaksa berhenti kerja, berhenti belajar, ataupun perlu bekerja lebih masa, untuk sekurang-kurangnya mengambil perkhidmatan penjagaan swasta yang umum ketahui mahal.

Persimpangan dilema seperti ini berupaya menyebabkan anak-anak ini hilang punca pendapatan, ataupun kabur masa depannya.

Dalam Tawaran Pakatan Harapan yang sejiwa dengan konsep MADANI yang dicadangkan oleh Tambun dan Kerajaan Perpaduan, kita sedia maklum dengan Pelan Kesiagaan Masyarakat Menua dan Ekonomi Penjagaan Nasional (SiagaJaga). Malaysia dalam tempoh 10 tahun, seharusnya disiap siaga dari segi tenaga pakarnya, prasarana dan fasilitinya, fiskal dan kewangan, serta kesiagaan rakyatnya sendiri, dalam mendepani cabaran Malaysia Negara Menua. Untuk ke arah itu, Pelan SiagaJaga boleh dan akan menzahirkan dan membentuk ekonomi penjagaan di Malaysia; di tangan kanannya ada warga tersayang yang DIJAGA, dan di tangan kirinya, perlindungan terhadap penjaga yang MENJAGA.

Profesionalkan Sektor Penjagaan

Sektor-sektor kesihatan berkepakaran seperti kejururawatan dan fisioterapi mempunyai tahap pengiktirafan dan darjah penghormatan yang melindungi sektor itu sendiri. Mengambil nilai yang sama, sektor penjagaan perlu dipupuk dan dibangunkan bermula dari sini.

Inisiatif ini perlu bergerak seiring dengan pembinaan kapasiti dan latihan untuk mencapai Nisbah Sokongan Penjaga (Caregiver Support Ratio – CgSR) yang amat hebat digunakan di negara-negara luar, tetapi tidak di Malaysia.

Malah, maklumat-maklumat seperti jumlah penjaga tidak berbayar, jumlah penjaga yang terlatih, jumlah penjaga yang benar-benar diperlukan – tidak dikaji dan tidak ketahui. Negara Jepun mempunyai nibah 3:1, manakala Slovakia pada nisbah 9:1. Negara-negara ini boleh merangka perjalanan ekonomi penjagaan kerana mereka sedar hakikat di mana mereka berada. Kita, jauh sama sekali.

Elaun dan Bantuan Penjaga

Bagi anggota keluarga yang terpaksa berhenti kerja demi menjaga ahli keluarga yang terlantar, Pelan SiagaJaga turut mencadangkan bantuan dan elaun untuk melindungi mereka. Perlindungan ini bukan sekadar RM 500 maksimum, tetapi juga meliputi perlindungan sosial kepada penjaga, bantuan kewangan yang setimpal dengan keadaan, dan keutamaan kembali bekerja. Keutamaan untuk mengembalikan masa depan penjaga, sentiasa ditatang dengan penuh cermat.

Penjagaan Bergerak (Mobile Care)

Pelan SiagaJaga juga mempunyai rencana untuk meringankan beban penjagaan primer di Klinik Kesihatan dengan mewujudkan Penjagaan Bergerak (Mobile Care). Penjagaan luka, yang mana meliputi majoriti besar kes-kes di Klinik Kesihatan, boleh disampaikan terus ke rumah pesakit. Golongan ini tidak perlu lagi berpenat lelah dan berpeluh-peluh berjalan kaki dari rumah ke klinik kesihatan.

One-Stop Care Centre

Zon Hijau, Zon Riadah, dan Ruang Ibadah, antaranya, telah disyaratkan sebagai syarat perancangan pembangunan. Pendekatan yang sama juga boleh digunakan ke atas sektor penjagaan, dengan mengikut nisbah yang bersesuaian. Warga tua yang tersayang boleh menggunakan fasiliti tersebut dengan selamat di samping memudahkan pakar penjagaan untuk bekerja.

Penuaan adalah sebuah aliran mega yang bertahap global (global megatrend). Malaysia tidak terkecuali. Di Perak, Ipoh Timor mencatatkan kepadatan populasi menua miskin yang ketara. Perak, sebagai sebuah negeri yang paling menua di Malaysia, mempunyai kadar kematian kasar pada 7:1 bagi setiap 1, 000 penduduk. Nisbah tanggungan umur tua pula berada pada tahap 13:2, kedua tertinggi selepas Perlis. Fakta yang tidak boleh kita nafikan: semakin menuanya sesebuah masyarakat, semakin mendadaklah keperluan perkhidmatan penjagaan di dalamnya.

Krisis Negara Menua ini tidak boleh dianggap sebagai ancaman. Ia perlu dilihat sebagai cabaran yang kita boleh tangani, kerana pendekatan untuk memupuk ekonomi manusiawi ini sudah ada di depan mata. Ancaman yang sebenar boleh terjadi sekiranya kita tidak #SiagaJaga. Apabila negara tidak mempunyai pakar jagaan yang mencukupi, apabila hospital berterusan melebihi kapasiti, apabila anggota keluarga terus terbeban dan tidak terbela nasibnya, barulah ancaman tersebut memakan diri kita.

Sektor penjagaan harus distruktur semula, dan bukannya dilihat sebagai ancaman dan beban kepada masyarakat.

Umum perlu sedar bahawa persediaan penjagaan yang berkualiti kepada warga emas dan warga pesakit bukannya sekadar tanggungjawab sosial. Ia juga adalah tanggungjawab moral. Industri penjagaan boleh beri manfaat ekonomi yang ketara, khususnya dalam mencipta pekerjaan di sepanjang rantaian nilai: bermula dari latihan ke penguatkuasaan pematuhan; dari rekayasaan dan pembinaan fasiliti terus ke kerja penjagaan. Kita perlu melabur dalam teknologi dan inovasi untuk memastikan warga emas menerima penjagaan dan sokongan yang terbaik.

Pelan Ekonomi Penjagaan perlu mula hari ini, tepat pada masanya. Pelan ini perlu dijadikan agenda rentas kementerian, dan diangkat sama tinggi dengan pelan Rancangan Malaysia. #SiagaJaga perlu diangkat setaraf dengan pelan negara kita. Tak musykil, dengan pelan yang MADANI ini, anak-anak kita nanti tidak perlu lagi berdiri di persimpangan dilema untuk memilih antara kerjaya, ataupun menunaikan tanggungjawab menjaga kita nanti.