Skip to content

Baik PH atau UMNO mahupun Bersatu tidak akan menyokong gandingan Hishammuddin Hussein dan Azmin Ali

Akhbar yang dimiliki MCA, The Star dengan syok sendiri telah menulis berita palsu pada 14 Jun, dengan artikel “Penyebar khabar angin sedang rancak.” Oleh kerana ia dimiliki oleh MCA, The Star tidak mungkin diambil tindakan dengan Akta Anti Berita Palsu yang diluluskan di bawah kuasa darurat, dengan denda sebanyak RM100,000 dan / atau penjara tiga tahun.

Akhbar itu memberi ruang kepada khabar angin tidak berasas bahawa Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein akan dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin. Apa yang tidak dinyatakan adalah Hishammuddin tidak akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen jika dia bekerjasama dengan Mohamed Azmin Ali, yang didakwan konon menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau. Baik PH atau UMNO mahupun Bersatu tidak akan menyokong pasukan Hishammuddin Hussein dan Azmin Ali.

Penipuan Azmin Mengenai Angka Kematian COVID-19

Azmin dilihat sebagai penggerak utama pengkhianatan Langkah Sheraton yang telah menggulingkan Kerajaan PH yang dipilih rakyat untuk digantikan oleh mereka yang kalah dalam pilihan raya 2018. Azmin juga telah menarik perhatian kontroversi kerana ucapan kempennya yang tersebar luas semasa Pilihan Raya Kecil Slim pada 23 Ogos 2020, dengan menyatakan bahawa nasib baik PN memerintah kerana lebih banyak rakyat Malaysia akan mati akibat COVID-19 sekiranya PH masih menjadi kerajaan.

Azmin secara terang-terang telah berbohong. Pada 23 Ogos 2020, jumlah kematian kumulatif adalah 125 dengan 9,267 kes. Sehingga 14 Jun 2021, jumlah kematian meningkat kepada 3,968 dengan jumlah kumulatif 662,457 kes. Sejak 23 Ogos 2020, 3,843 lagi rakyat Malaysia telah meninggal dunia akibat ketidakcekapan dan salah urus pandemik COVID-19 oleh Kerajaan PN. Sudah tentu, tidak ada permintaan maaf atau penyesalan dari Azmin kerana membuat kenyataan yang tidak berasas seperti itu.

Saya Berbangga Dapat Berkhidmat Sebagai Menteri Kewangan Malaysia

Satu lagi khabar angin yang disebut dalam The Star ialah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dengan saya dan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya tidak pernah menyatakan hasrat untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Walaupun PH memenangi Pilihan Raya Umum 2018, saya tidak pernah mengejar jawatan tersebut dan sudah rasa berbangga diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Malaysia.

Jelas ini adalah usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian dari kegagalan Kerajaan PN menangani krisis COVID-19, ekonomi dan politik dengan melemparkan “umpan politik” kepada golongan rasis dan ekstremis agama dalam parti pemerintah PN. Artikel tersebut diakhiri dengan ayat, “Sebarkan aje lah.”.

Tidak seperti The Star, berita palsu tidak patut “disebarkan” sewenangnya kerana ia akan menjejaskan misi utama negara untuk memenangi peperangan kritikal melawan COVID-19 demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian. Komen adalah percuma, tetapi fakta tidak boleh dipertikaikan.