Skip to content

Bajet 2024 Persekutuan turut melihat kepentingan Pulau Pinang dalam radar pembangunan negara

Bajet 2024 Pusat yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada hari ini turut melihat kepentingan Pulau Pinang supaya seiringan dengan arus pembangunan negara.

Sebagai Ketua Menteri, tidak keterlaluan saya katakan bahawa Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang menyambut baik belanjawan Kerajaan Persekutuan hari ini yang mana ia melambangkan Pulau Pinang turut berada dalam radar pembangunan negara.

Sebagai contoh, cadangan pemberian galakan cukai pelaburan semula dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 peratus atau 100 peratus yang mana polisi ‘trickle-down economics’ tersebut dijangka bukan sahaja akan menggalakkan para pelabur meningkatkan pelaburan modal mereka, malah sekali gus akan meningkatkan lagi produktiviti komoditi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan juga merancakkan lagi kitaran ekonomi negeri.

Berhubung hasrat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempermudahkan urusan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik, saya berharap tekad tersebut akan mengeratkan lagi kerjasama sedia ada pada peringkat Kerajaan Negeri melalui syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Invest Penang serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Pulau Pinang. Begitu juga dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP), adalah diharapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mengambil bahagian secara kolektif.

Mengenai anggaran awal pembinaan aliran transit ringat (LRT) bernilai RM10 bilion menerusi kaedah perkongsian awam swasta (PPP), saya berharap projek mega tersebut dapat direalisasikan dan juga disegerakan yang mana usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel di Pulau Pinang bukan sahaja akan menyumbang kepada pembentukan modal tetap kasar ditingkatkan, malah sekali gus juga meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat serta menyumbang kepada kemerosotan aliran trafik pada waktu puncak kelak.

Berhubung peruntukan khusus RM180 juta untuk mewujudkan blok baharu pendidikan khas termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda, memandangkan kini di bahagian Seberang Perai telah terdapat dua sekolah menawarkan pendidikan khas (termasuk SK Alma), saya berharap agar sebuah lagi blok pendidikan khas turut diwujudkan di bahagian pulau negeri ini.

Bajet 2024 Pusat juga turut memperuntukkan RM6.8 juta untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), saya berharap Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), iaitu agensi negeri yang selama ini berkolaborasi dengan pemain industri dalam melatih modan insan dapat dilibatkan demi menjayakan projek perintis TVET Persekutuan demi menenuhi keperluan sektor-sektor ekonomi penting secara keseluruhan.