Skip to content

Bangi Boleh!

Kawasan Parlimen Bangi adalah merupakan kawasan parlimen dengan jumlah pengundi yang tertinggi dalam negara, dengan sejumlah 303,428 orang pengundi berdaftar. Berdasarkan jumlah penduduk pula, P102 Bangi mencatatkan jumlah penduduk lebih daripada 680,000 mengikut statistik rasmi pihak Kerajaan.

Demografi Bangi juga mencerminkan kepelbagaian penduduk di Malaysia, di mana kawasan Parlimen ini adalah kawasan Parlimen campuran (mixed) dengan majoriti Melayu tetapi juga dengan bilangan bukan Melayu yang besar dan signifikan.

Kawasan P102 Bangi juga merangkumi kawasan-kawasan yang berbeza dan unik; Balakong ada beza dengan Bandar Baru Bangi, contohnya. Tetapi apa yang pasti adalah sebagai kawasan bandar, isu-isu urbanisasi menjadi isu-isu utama di P102 Bangi.

Sejak dilantik sebagai Wakil kepada Ahli Parlimen P102 Bangi Dr. Ong Kian Ming pada bulan Jun 2022, saya telah diberi peluang untuk berjumpa dengan penduduk di segenap pelosok kawasan Parlimen ini. Saya mengetahui isu dan permasalahan yang dihadapi oleh mereka dan konsep ‘Bangi Boleh’ dan 3 Teras yang digariskan di sini adalah hasil daripada maklumbalas penduduk kepada saya dalam beberapa bulan ini.

Sebagai calon yang bertanding untuk kerusi Parlimen P102 Bangi dalam Pilihan Raya Umum ke-15, saya berazam untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan parlimen Bangi berasaskan kepada 3 Teras berikut; Kehidupan Sejahtera, Masyarakat Terjaga, dan Peluang Bersama.

Kehidupan Sejahtera

Bagi teras ini, kami akan membawa penambahbaikan terhadap tahap daya huni komuniti di kawasan Bangi. Ini termasuk menambah baik infrastruktur pendidikan termasuk berusaha untuk mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah, membuat perancangan dan penyediaan jaringan pengangkutan awam yang lebih tersusun seperti menambah lebih banyak laluan bas, bekerjasama dengan pihak berwajib untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dan menaiktaraf ruang riadah awam.

Kami juga akan memperkasa dan menyemarakkan semangat komuniti melalui lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dengan sokongan daripada pejabat Ahli Parlimen.

Kami juga akan melihat semula perancangan bandar di kawasan-kawasan perumahan, perniagaan dan industri dengan lebih baik dan komuniti Bangi akan dilibatkan dengan menyeluruh dalam perancangan ini supaya kita dapat membina komuniti yang mampan dan berdaya huni untuk semua.

Masyarakat Terjaga

Bagi teras ini, nasib golongan miskin bandar, mereka yang kurang bernasib baik, dan golongan rentan tidak akan dilupakan. Program-program bantuan kebajikan akan tetap diteruskan, untuk memastikan setiap ahli komuniti Bangi dapat sekurang-kurangnya menjalani kehidupan yang bermaruah.

Di samping itu, jaringan sokongan dari segi undang-undang juga akan diperkenalkan melalui khidmat nasihat undang-undang percuma yang akan diberikan secara berkala. Kami juga akan bekerjasama dengan pihak yang kepakaran untuk memberi sokongan kepada mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Kami juga akan pastikan bahawa khidmat yang diberikan kepada masyarakat akan disampaikan dengan cekap dan berkesan dan meneruskan rekod perkhidmatan cemerlang oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan sebelum ini.

Peluang Bersama

Teras ketiga adalah untuk menggunakan kekuatan dan kelebihan yang sedia ada di Bangi untuk memberi peluang bersama buat semua. Potensi Bangi sebagai hab perniagaan dengan menggunakan jaringan perusahaan yang berasaskan pengetahuan yang sedia ada akan dibangunkan.

Bangi juga menjadi tempat begitu banyak institusi pengajian tinggi. Oleh itu, kami akan mempertingkatkan kerjasama di antara institusi pengajian tinggi ini dengan industri tempatan untuk memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak muda.

Kami juga akan meneroka pembangunan satu ekosistem untuk usahawan, startups dan perniagaan atas talian di kawasan Parlimen Bangi, yang sememangnya menjadi tempat keusahawanan dan perniagaan atas talian. Ekosistem ini akan, antara lain, membantu usahawan di Bangi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Kesimpulan

Saya tidak akan menjanjikan bulan dan bintang. Saya juga tidak menjanjikan penyelesaian kepada setiap permasalahan tempatan di kawasan Parlimen ini. Tetapi apa yang pasti adalah 3 Teras Bangi Boleh ini boleh dilaksanakan dan bukanlah sekadar komitmen kosong.

Saya juga ingin tekankan bahawa sekiranya saya dipilih menjadi Ahli Parlimen mewakili kawasan ini, saya akan disokong oleh pasukan yang sudah lama berkhidmat di Bangi. Ini termasuk 3 Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor di ketiga-tiga DUN, Ahli-ahli Majlis dan ketua-ketua komuniti bersama-sama dengan pejabat Ahli Parlimen. Bak kata pepatah Inggeris, it will be a team effort. Kami sudah pun mempunyai landasan yang teguh, dan kami akan terus memberikan khidmat berpaksikan landasan tersebut.

Saya percaya bahawa 3 Teras ini akan menjadikan kawasan Parlimen Bangi ini suatu kawasan yang mempunyai dayahuni yang tinggi. Saya berharap pengundi Bangi dapat memberi peluang kepada Pakatan HARAPAN untuk merealisasikan 3 Teras ini.

Bangi, boleh!