Skip to content

Banjir Kilat Tringkap Dipercayai Berpunca Daripada Hujan Lebat Dan Kepala Air Ho Chi Yang: Kawasan Lain Di Cameron Highlands Selamat Dan Tidak Terjejas

1. Kampung Baru Tringkap di Cameron Highlands dilanda banjir kilat pada waktu petang 1hb Mei yang lalu, menyebabkan 29 buah rumah dan kedai di kampung tersebut dinaiki air. Kawasan kebun sayur di Batu 46 yang berhampiran juga mengalami kerosakan serius akibat kejadian kepala air dari kawasan hutan. Syukur, tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam bencana ini.

2. Saya dan para penduduk telah turun padang pada tempoh hari bagi meninjau kawasan kebun di Batu 46, Tringkap yang terkesan untuk cuba mengenal pasti punca banjir. Pemerhatian awal mendapati bahawa banjir kilat tersebut dipercayai berpunca daripada kejadian kepala air yang berlaku dari kawasan hutan susulan hujan lebat.

3. Kami mendapati kejadian kepala air dari kawasan hutan yang menghanyutkan lumpur dan pokok mengundang kepada kerosakan serius beberapa kebun di Batu 46, Tringkap, yang berada di kawasan lembah yang lebih rendah. Selain itu, kejadian kepala air juga berkemungkinan besar menyebabkan sungai tidak mampu menampung jumlah air yang meningkat secara mendadak, justeru mencentuskan banjir kilat di Kampung Baru Tringkap.

4. Antara yang turut serta dalam lawatan ini termasuklah Go Mong Nging, Pengerusi JKKKB Tringkap; Loo Liang Hong, Pegawai Kemajuan Perkampungan Daerah Cameron Highlands; Cheong Yip Hing, Ketua Pasukan Sukarelawan Keselamatan; Lim Sung Sing, ahli Pasukan Bomba Sukarela serta ahli JKKKB Tringkap.

5. Walau bagaimanapun, bencana ini hanya melibatkan Kampung Baru Tringkap dan kawasan kebun yang berada di kawasan lembah sahaja, manakala kawasan lain di Cameron Highlands tidak terjejas dan adalah selamat. Justeru, para penduduk dan pelancong tidak perlu bimbang dan boleh meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands.

6. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua agensi kerajaan yang membantu mangsa banjir, termasuk PDTCH, PDRM, Bomba, APM, MDCH, JPS, JKM dan sebagainya. Terima kasih juga diucapkan kepada badan bukan kerajaan seperti JKKKB Tringkap, Pasukan Sukarelawan Keselamatan dan Pasukan Bomba Sukarela, atas tindakan segera mereka dalam membantu mangsa dan membersihkan kawasan selepas kejadian. Keprihatinan dan semangat saling membantu yang ditunjukkan mencerminkan kerjasama dan kekuatan komuniti kita dalam menghadapi situasi kecemasan.

7. Saya akan terus berbincang dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi langkah pemulihan dan pencegahan banjir dapat dijalankan dengan lancar dan secepat mungkin demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.