Bank Negara wajar menghayati dasar kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menumpukan kepada 3 keutamaan utama iaitu mengekang peningkatan kos sara hidup, menjana pertumbuhan ekonomi dalam kelembapan global dan memerangi rasuah. Bank Negara telah mengetengahkan enam keutamaan dasar utama untuk pembaharuan, iaitu, pendigitalan; daya tahan fiskal; ekonomi berdaya tahan iklim; potensi pertumbuhan; tenaga kerja tersedia masa hadapan; dan perlindungan sosial.
Walaupun 6 pembaharuan struktur utama yang dicadangkan oleh Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus untuk meningkatkan daya saing dan potensi pertumbuhan Malaysia adalah matlamat jangka panjang yang ideal, tiga matlamat utama Anwar harus diutamakan untuk memastikan kestabilan kerajaan perpaduan daripada terus diancam sentimen perkauman dan pelampau. Bank Negara harus secara aktif membantu kerajaan untuk mewujudkan kestabilan politik bagi meyakinkan pelabur dengan sebuah kerajaan yang progresif, cekap, telus dan inklusif dan bukannya kerajaan yang ekstremis, perkauman dan culas, tidak jujur tanpa sebarang perancangan ekonomi rasional.
Langkah pertama yang harus dilakukan oleh Nor Shamsiah ialah mengawal sebarang kenaikan kos sara hidup dengan menunda kenaikan Kadar Polisi Semalaman (OPR) untuk melindungi peminjam individu dan perniagaan daripada sebarang kos kewangan tambahan. Dengan inflasi menyederhana kepada 3.7% pada Februari 2023, tidak ada keperluan untuk sebarang kenaikan kadar faedah.
Selanjutnya, tindakan tidak menaikkan kadar faedah oleh Bank Negara tidak menyebabkan nilai ringgit menyusut berbanding dolar AS, yang telah mengukuh daripada paras rendah RM 4.75 di bawah pentadbiran terdahulu kepada RM 4.41 hari ini. Dalam erti kata lain, kenaikan atau penurunan OPR tidak mempunyai kesan yang ketara ke atas nilai ringgit berbanding dolar AS, yang ditentukan oleh faktor luaran di luar kawalan negara. Bank Negara harus menunjukkan institusi itu mempunyai belas kasihan terhadap perniagaan kecil dan individu dengan menunda sebarang kenaikan OPR.