Menteri Pendidikan II Idris Jusoh dilaporkan berkata bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan bekerjasama dengan Bank Negara untuk menyenaraikan peminjam PTPTN yang ingkar dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS). Menurut beliau, mereka yang belum lagi membuat pembayaran balik pinjaman PTPTN akan berhadapan dengan kesukaran untuk memohon pinjaman bank yang lain.
Walaupun secara amnya, mengetatkan syarat kredit merupakan langkah yang baik, namun tindakan kerajaan dalam konteks ini tidak mengambil kira pokok pangkal permasalahan yang ada.
Anak muda tiada pilihan: PTPTN bukan kemewahan ataupun kemudahan, tapi satu keperluan
Pertamanya, pinjaman PTPTN pada hari ini menjadi satu keperluan dan bukannya satu kemewahan ataupun satu kemudahan lagi, kepada majoriti anak muda dan keluarga mereka kerana dasar ekonomi berunsurkan kapitalisme kroni yang diamalkan oleh kerajaan pusat menyebabkan rakyat biasa terpinggir daripada kekayaan ekonomi negara. Menurut statistik penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0), 80% isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan kurang daripada RM3000 sebulan. Satu lagi statistik menunjukkan bahawa 40% daripada isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan kurang dari RM1500 sebulan.
Keduanya, keadaan ekonomi isu rumah yang suram bertambah buruk disebabkan dasar kerajaan yang mengkomersialisasikan sektor pendidikan tinggi di Malaysia. Pada hari ini, selain 20 buah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), terdapat 365 buah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang melahirkan lebih kurang 200,000 orang siswazah setiap tahun.
Amat jelas, kerajaan membenarkan sektor pendidikan tinggi ditransformasi kepada satu pasaran mengaut keuntungan tanpa mementingkan kualiti serta kebajikan anak muda Malaysia.
Dalam keadaan ini, anak muda tiada pilihan dan terpaksa menjadi penghutang pada usia muda melalui pinjaman PTPTN bagi membiayai pendidikan tinggi mereka dalam keadaan ekonomi keluarga yang suram.
Dasar ekonomi kapitalisme kroni menghukum rakyat biasa terutama anak muda
Justeru, tindakan kerajaan pusat ini bagaikan menghukum anak muda yang pada asalnya memang tiada pilihan selain menjadi penghutang. Dasar dasar kerajaan pusat nampaknya hanya menguntungkan pihak bank dan syarikat-syarikat swasta seperti pengelola IPTS dan akhirnya anak muda menjadi mangsa ekonomi kapitalisme kroni.
Dalam ucapan Parlimen saya dan sempena Hari Belia Antarabangsa tahun ini, saya juga telah membangkitkan tiga kemelut ekonomi yang terpaksa dihadapi oleh anak muda di Malaysia, iaitu 1) aliran keluar kepakaran ataupun brain drain, 2) pengangguran anak muda yang tinggi dan 3) guna tenaga tidak penuh ataupun underemployment yang berleluasa. Antara faktor-faktor yang menyebabkan kemelut ini termasuk sistem pendidikan berciri komersial yang tidak dapat menyediakan siswazah memasuki bidang pekerjaan dan dasar ekonomi kapitalisme kroni yang mementingkan keuntungan dan bukan kebajikan rakyat.
Dengan perlaksanaan penyenaraian CCRIS ini, maka anak muda yang keluar bekerja akan menghadapi tekanan hidup yang lebih tinggi.
Sebagai contohnya, disebabkan kegagalan dasar pengangkutan awam kerajaan maka pengangkutan persendirian menjadi satu keperluan asas untuk anak muda terutamanya untuk kegunaan pekerjaan. Melalui tindakan kerajaan mengetatkan syarat kredit untuk anak muda, maka pembelian motorsikal ataupun kereta menjadi satu masalah.
Tindakan terburu-buru dan simplistik – seru campurtangan Menteri Belia dan Sukan
Saya berpendapat tindakan kerajaan ini, sekali lagi merupakan tindakan terburu-buru yang tidak mengambil kira kesan buruk terhadap rakyat biasa. Ini merupakan langkah simplistik kerajaan yang bertindak semacam “ah long” memberi tekanan kepada anak muda membuat pembayaran balik pinjaman PTPTN wahal kerajaan sendiri gagal menaikkan ekonomi rakyat biasa termasuk anak muda bagi memastikan setiap rakyat Malaysia dapat menikmati kekayaan negara dengan adil.
Oleh sebab isu ini akan memberi kesan yang buruk kepada ramai anak muda, maka saya menyeru Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk campurtangan dan menginsafkan rakan sekerja beliau dalam Kabinet tentang kesusahan anak muda Malaysia pada masa kini dan memansuhkan rancangan penyenaraian CCRIS tersebut.
Akhir sekali, saya menyeru kerajaan pusat mengkaji semula dasar komersialisasi sektor pendidikan dan mempertimbangkan dasar pendidikan tinggi percuma yang disaran dalam manifesto Pakatan Rakyat.Pendidikan merupakan hak asasi manusia yang patut diberi penekanan utama oleh kerajaan, dan bukan dijadikan bahan dagangan yang memaksa anak muda menjadi penghutang pada usia muda.