Penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi yang sudah menetap di kawasan tersebut sejak 50 tahun dahulu kini berhadapan dengan tindakan pengusiran berikutan penghakiman mahkamah bertarikh 3 Julai 2012, perintah bertarikh 20 April 2015, writ milikan bertarikh 25 Jun 2015, dan akhirnya, notis keluar bertarikh 9 Julai 2015.
Kemelut Kampung Mutiara, yang terdiri daripada 90 lebih unit rumah kampung, telah bermula pada tahun 2007 apabila pemilik baru, Encik Loke Leng Seak, telah membeli hartanah Lot 39 dan 40, Seksyen 1, Daerah Timur Laut, Bandar Batu Ferringhi, Pulau Pinang yang berukuran seluas lebih kurang 3.5 ekar.
Setahun kemudian, Encik Loke telah memulakan tindakan mahkamah untuk mengusir penduduk kampung tanpa sebarang pampasan kepada mereka. Walaupun tidak bercanggah dengan kanun tanah negara, namun tindakan ini merupakan tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Di bawah garis panduan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mana-mana pelan pembangunan tidak akan diluluskan tanpa pampasan adil dan setimpal kepada penduduk di kawasan tersebut. Sebagai contoh, di Kampung Chetty, iaitu sebuah kampung berdekatan dengan Kampung Mutiara, pampasan satu unit rumah kos sederhana rendah (LMC) telah diberi sebagai ganti rugi bagi setiap rumah yang dikosongkan. Ini adalah hasil rundingan antara penduduk dan pihak pemaju dengan Kerajaan Negeri sebagai pemudahcara.
Namun begitu, dalam kes Kampung Mutiara, sampai sekarang tidak ada sebarang permohonan kebenaran merancang yang dibuat. Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak mempunyai locus standi untuk menolak atau menyekat tindakan mahkamah yang diambil oleh tuan tanah Encik Loke.
Pun begitu, kami selaku wakil rakyat tempatan bertekad akan membantah dan mendesak Kerajaan Negeri untuk menolak sebarang projek pembangunan di atas Lot 39 dan 40 Kampung Mutiara, selagi pampasan yang adil dan setimpal tidak diberi kepada semua penduduk kampung tersebut. Kami berpendapat bahawa pampasan bagi penduduk yang sudah berpuluh tahun menetap di situ adalah suatu hak asasi yang wajib ditunaikan atas prinsip perikemanusiaan.