Bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membenarkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang memilih Ahli Majlis sendiri membuktikan Barisan Nasional (BN) menentang pilihan raya kerajaan tempatan dan demokrasi.
Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Najib telah merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk membantah permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bekas Presiden Aliran Mr P Ramakrishan. Kedua-dua kami telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan bahawa Pelembagaan Negeri Pulau Pinang diberi hak untuk membenarkan pengundi Pulau Pinang untuk memilih Ahli Majlis Tempatan sendiri, selaras dengan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 2012 (Pulau Pinang dan Seberang Perai) sepertimana yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei 2012.
Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih Ahli Majlis Tempatan selama lebih satu dekad antara tahun 1951 dan 1965, apabila pilihan raya kerajaan tempatan terpaksa digantung atas sebab Konfrontasi Indonesia. Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah berjanji kepada Dewan Rakyat bahawa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan akan dipulihkan apabila Konfrontasi berakhir. Beliau berkata:
“Sebaik sahaja keamanan dan ketenangan pulih kembali kita akan segera membuat persiapan untuk pilihan raya kerajaan tempatan… Sebaik sahaja keamanan diisytiharkan saya memberi jaminan kepada Dewan bahawa pilihan raya akan diadakan.”
Konfrontasi dengan Indonesia telah berakhir pada tahun 1966. Selama 47 tahun kita telah menunggu janji ini dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membenarkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.
Pada 29 Mei 2013, seorang hakim Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Kerajaan Negeri dan Ramakrishnan di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan untuk memfailkan petisyen bagi mencabar Seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang menghalang dari mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Sekiranya berjaya, petisyen itu akan didengar di hadapan barisan hakim Mahkamah Persekutuan bagi menjalankan bidang kuasa asalnya di bawah Perkara 128(1), pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Disebabkan bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 29 Mei 2013, selepas Pilihan Raya Umum ke-13 untuk mendengar permohonan kebenaran itu. Sekiranya Pakatan Rakyat menang majoriti di Parlimen Persekutuan pada Pilihanraya Umum kali ini, kita akan segera menarik balik bantahan daripada Kerajaan Persekutuan terhadap kes ini dan mengambil langkah-langkah untuk memperkenalkan semula demokrasi tempatan di Malaysia dengan memansuhkan larangan Persekutuan terhadap Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.
Hasrat Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang untuk memulihkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan adalah berdasarkan kepercayaan kita terhadap demokrasi, dalam sistem kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Kerajaan Negeri percaya pengabaian selama 18 tahun yang ditanggung oleh Pulau Pinang boleh dipersalahkan di atas sistem lantikan politik Ahli Majlis oleh Kerajaan Negeri BN, di mana MPSP hampir menjadi bankrap setelah ketirisan sebanyak RM230 juta sebelum tahun 2008.