Skip to content

Bantuan kebajikan bencana alam

Saya telah membangkitkan isu mengenai bantuan kebajikan bencana alam. Saya telah menerima aduan daripada pemohon-pemohon kebajikan banjir bahawa permohonan mereka tidak diluluskan atas sebab mereka tidak berpindah ke Pusat Pemindahan yang telah diwartakan dan diselenggara oleh JKM walaupun mereka telah menunjukkan bukti gambar dan laporan polis. Syarat yang ditetapkan oleh JKM ini adalah tidak munasabah kerana JKM sepatutnya bertanggungjawab untuk memberi bantuan kepada mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan kerana mereka sememangnya adalah mangsa bencana alam.

Selain itu, saya juga menerima aduan tentang proses untuk meluluskan bantuan daripada Jabatan Kebajikan mengambil masa yang sangat lama. Saya berpendapat dengan adanya bukti yang kukuh seperti gambar-gambar yang diambil semasa kejadian bencana alam dan laporan polis, proses meluluskan permohonan sepatutnya lebih cepat. Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, tahap produktiviti dan efisiensi harus dipertingkatkan.

Saya juga bercadang bahawa jumlah amaun bantuan kebajikan dan amaun bantuan kebajikan setiap individu dapat dinaikkan lagi bagi tahun 2016 kerana negara sekarang sedang menghadapi tekanan inflasi. Jumlah bantuan kebajikan juga harus dinaikkan setanding dengan kenaikkan inflasi demi kebaikan rakyat.