Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY) menggesa kerajaan Malaysia membela nasib pelarian di seluruh negara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
Berdasarkan maklumat UNHCR, terdapat 178,990 pelarian yang mencari perlindungan di Malaysia. Mereka terdiri dari :-
- 154,080 warga Myanmar
- 6,660 warga Pakistan
- 3,680 warga Yaman
- 3,290 warga Somalia
- 3,290 warga Syria
- 2,590 warga Afghanistan
- 1,830 warga Sri Lanka
- 1,270 warga Iraq
- 790 warga Palestin dan lain – lain.
46,520 daripada mereka adalah kanak-kanak berumur bawah 18 tahun.
Malaysia masih belum lagi menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967 di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). Oleh kerana belum ada tindakan segera dari pihak kerajaan untuk menghantar pulang pelarian yang berlindung di Malaysia, kesukaran hidup mereka wajar diberikan perhatian. Nasib mereka tidak menentu dan tertakluk kepada penyelewengan dari sudut sosial, ekonomi dan dari juga pertubuhan tertentu.
Kebanyakan pelarian ini terutamanya yang berkerja dengan ‘gaji hari’ menghadapi masalah kewangan berikutan PKP yang telah menghentikan semua aktiviti yang tidak penting (non-essential). Kerajaan perlu membantu golongan ini, tanpa mengira dasar sedia ada berkenaan hak pelarian untuk bekerja atau status mereka.
Dalam apa jua keadaan, apabila seseorang individu – tanpa mengira warganegara dan status – dihalang daripada apa jua cara untuk mencari rezeki, mereka akan berada dalam keadaan sangat lapar dan terdesak. Jika ini berterusan, seperti yang dijangkakan di dalam tempoh PKP ini, keadaan mendesak yang dialami oleh individu seperti yang dinyatakan di atas mungkin terpaksa melakukan apa sahaja untuk mencari sesuap nasi bagi mereka dan keluarga mereka.
Kebanyakan buruh kasar yang tanpa kontrak dan juga peniaga kecil-kecilan yang tidak berada dalam lingkungan perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berada pada situasi yang amat rentan. Mereka ini yang sebahagiannya adalah dari pelarian yang disenaraikan pada awal tadi telah benar-benar merasai kepayahan dan tidak mempunyai jalan keluar. Dilaporkan terdapat sebahagian besar buruh binaan dari golongan ini tidak lagi dibayar apa-apa dalam tempoh PKP ini.
Bagi rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya ada sinar di hujung jalan setelah kerajaan mengumumkan Pakej Bantuan sebagai rangsangan untuk membantu rakyat dalam waktu PKP ini.
Jika warga pelarian ini tidak diberikan bantuan yang sewajarnya dalam masa terdekat, kerajaan pasti akan menghadapi peningkatan masalah sosial dan jenayah umum yang pastinya akan menambah beban kepada keadaan ekonomi dan kesihatan semasa.
Keadaan ekonomi yang teruk pasti akan meningkatkan bilangan kes jenayah. Berbanding dengan keadaan ekonomi yang berkembang baik, tahap jenayah berkemungkinan besar akan menurun atau kekal pada tahap rendah. Desakan hidup, kelaparan dan naluri untuk terus hidup adalah motif untuk melakukan jenayah.
Dalam peperangan kita dengan musuh yang tidak kelihatan, dan merupakan krisis kesihatan yang terbesar pernah dialami oleh negara, dan bakal disusuli krisis ekonomi yang agak tenat dalam tempoh masa yang lama; kerajaan perlu bertindak segera untuk mengekang masalah sosial dan jenayah daripada menjadi lebih parah. Ini boleh dilakukan dengan mengambil berat tentang nilai kemanusiaan.
Kami menggesa agar kerajaan menghulurkan tangan, memberi bantuan secara sistematik kepada pelarian-pelarian ini. Ini bukan sahaja perkara yang mesti dilakukan, bahkan ia adalah perkara yang amat betul dan berperikemanusian.