Skip to content

Barisan calon BN perlu menjelaskan kenapa Manifesto BN enggan memansuhkan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang kepada semua jenis kenderaan dan tiada perancangan untuk mewujudkan pelan pemajuan Transit Aliran Ringan (LRT) dari Bahagian Pulau ke Seberang Perai sebagai menyurai kesesakan lalu lintas

Barisan calon BN Pulau Pinang yang diumumkan hari ini, mesti menjelaskan kepada para pengundi mereka mengapa Manifesto BN tidak mempunyai rancangan untuk pemajuan LRT dari bahagian pulau ke Seberang Perai, iaitu ke arah polisi “menggerakkan orang, bukan kenderaan.” Atau, mengapa manifesto BN tidak bercakap mengenai pemansuhan tol untuk semua jenis kenderaan di Jambatan Pertama Pulau Pinang. Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow bukan sahaja mengelak untuk menjelaskan mengapa beliau menentang pembinaan LRT di Pulau Pinang, sebaliknya mengatakan bahawa BN berhasrat membatalkan cadangan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk membiayai kos serta membina LRT kita sendiri.

Jelasnya sekali, manifesto BN Pulau Pinang hanya sekadar untuk “membalas dendam” dengan membatalkan semua projek infrastruktur, seperti projek terowong bawah dasar laut dan pelan pengangkutan awam seperti LRT yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Pulau Pinang. Tanpa sebarang rancangan oleh BN untuk LRT atau projek pengangkutan awam, bagaimanakah BN akan menghalang rakyat Pulau Pinang daripada terus tercekik di dalam kesesakan lalu lintas?

Mana-mana parti yang tiada hasrat (membina) LRT atau sistem pengangkutan awam adalah tidak layak untuk menjadi Kerajaan di Pulau Pinang. Begitu juga dengan calon BN yang menentang hasrat membina LRT, tidak sepatutnya mendapat sebarang sokongan daripada rakyat Pulau Pinang.

LRT merupakan suatu bentuk pengangkutan awam yang penting untuk Pulau Pinang. Hanya dengan memenangi mandat di Putrajaya, kita boleh menghalang pendirian Kerajaan Persekutuan BN untuk mensabotaj projek LRT kita. Cadangan Pakatan bukan hanya mahukan LRT terhad di bahagian pulau, bahkan juga menghubungkan pulau ke Butterworth, Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan Batu Kawan.

Dengan mengelak daripada menjelaskan mengapa tiada LRT di dalam manifesto BN, Teng cuba untuk mengalih perhatian (rakyat) dengan meminta pendirian DAP berhubung pelaburan (asing langsung dari) China. DAP mengalu-alukan semua pelaburan asing ke Malaysia selagi ia adalah demi kepentingan rakyat Malaysia serta mematuhi norma-norma antarabangsa seperti transparency dan akauntabiliti. Direkodkan juga, terdapat pelaburan China dalam industri pembuatan elektronik yang disambut baik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kontrak yang dimeterai mesti dihormati tetapi apa yang salah dengan kontrak perundingan semula yang tidak adil, sama ada dari China atau pun negara lain, untuk mendapatkan perjanjian yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Sebagai contoh Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang telah diberikan tanpa tender terbuka, manakala projek terowong bawah dasar laut Pulau Pinang adalah melalui tender terbuka kompetitif. Mengapa terdapat masalah dengan projek terowong bawah dasar laut apabila ia diberikan secara tender terbuka kompetitif tetapi tiada masalah dengan ECRL apabila tiada tender terbuka?

Pulau Pinang telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dalam tempoh 10 tahun lalu dengan peningkatan pelaburan sebanyak 90% kepada RM70 bilion dan ketibaan pelancong berganda berbanding 10 tahun sebelumnya di bawah BN. Tanpa sistem LRT atau sistem pengangkutan awam, pertumbuhan ekonomi masa depan Pulau Pinang akan terhenti. Sebagai langkah lanjut, Kerajaan Negeri Pakatan Pulau Pinang telah menyediakan bas-bas percuma di kawasan yang disasarkan.

Walau bagaimanapun, tanpa rangkaian LRT yang menghubungkan pulau dan Seberang Perai, Pulau Pinang tidak dapat bergerak ke hadapan dan menjadi negeri maju. Tambahan pula, mengapa penduduk di Seberang Perai Utara (SPU) dinafikan rangkaian hubungan ke pulau dalam bentuk terowong bawah dasar laut sedangkan Seberang Perai Tengah mempunyai Jambatan Pertama Pulau Pinang dan Seberang Perai Selatan mempunyai Jambatan Kedua Pulau Pinang?