Skip to content

Barisan Nasional gagal dalam menangani inflasi dan hutang negara

Pada 6 Oktober 2022, Ketua Audit Negara telah mendedahkan bahawa negara kita terpaksa membuat pinjaman baharu untuk membayar balik pinjaman matang. Selain itu, 16.3% kutipan hasil diguna untuk bayaran faedah pinjaman. Ini bermakna setiap RM1 hasil yang dikutip, 16 sen digunakan untuk bayaran faedah pinjaman.

Malah, nisbah statutori hutang kepada KDNK meningkat dari 57.9% (2020) kepada 59.7% (2021). Kita hanya ada dua jalan untuk menurunkan nisbah ini. Iaitu membuat bayaran hutang sebelum ia matang ataupun meningkatkan KDNK.

Walaubagaimanapun, kita langsung tidak melihat Barisan Nasional mempunyai rancangan untuk meningkatkan ekonomi negara. Presiden UMNO Zahid Hamidi lebih berminat untuk cakap tentang cuti hari jadi. Saya ingin menegaskan bahawa, dasar ini adalah tidak bermakna sekiranya diberi macam-macam cuti, tapi bila cuti, pekerja terpaksa buat kerja sambilan kerana gaji satu kerja tak mampu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat di bawah BN-PN.

Isu pokok sekarang pembantutan gaji pekerja dan, kos sara hidup tinggi. Malah, ramai penjawat awam juga terpaksa buat kerja sambilan seperti penghantar makanan untuk menanggung bebanan kos sara hidup.

Maka adalah penting bagi semua parti politik dan juga calon berbicara tentang dasar yang akan dilaksanakan untuk menurunkan kos sara hidup dan stabilkan bekalan barang asas seperti telur.

Pakatan Harapan mempunyai rekod baik dalam menangani isu inflasi. Dari kadar inflasi 3.87% pada tahun 2017, Pakatan Harapan berjaya kawal kos barang dan kadar inflasi pada tahap 0.88% (2018) dan 0.66% (2019). Apabila BN ambil alih pada tahun 2021, kadar inflasi Malaysia terus lonjak balik ke tahap 2.48%. Barisan Nasional terbukti gagal dalam tangani isu inflasi.

Apatah lagi jika kita terpaksa ambil hutang baharu untuk membayar balik hutang yang matang? Adakah Barisan Nasional cadangkan kita terus mewariskan hutang kepada generasi yang akan datang?