Skip to content

Batalkan tindakan tatatertib terhadap 13 mahasiswa UKM & minta maaf segera

Saya membidas tindakan pihak HEP UKM yang mengenakan tindakan disiplin terhadap 13 mahasiswa/wi yang berjuang dalam isu air (MATA). Tindakan tatatertib sebegini yang jelas tidak munasabah patut dibatalkan segera dan HEP UKM harus meminta maaf kepada pimpinan mahasiswa UKM.

Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) tidak berbuat salah dalam isu air ini. Disebabkan kekurangan dan ketiadaan bekalan air yang berlarutan panjang, pimpinan PMUKM terpaksa melaksanakan hak berhimpun yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendesak pihak universiti supaya memandang serius terhadap isu air yang telah lama mengganggu para mahasiswa/wi UKM.

Pimpinan PMUKM telah membuat aduan rasmi kepada Ahli Parlimen Serdang, Encik Ong Kian Ming berikutan kegagalan pihak universiti UKM untuk menangani kemelut air ini. Kemasukan YB Ong Kian Ming ke kampus UKM yang bertujuan untuk meneliti masalah sebenar serta pembangkitan isu berkenaan dalam parlimen oleh beliau mutakhir ini telah mengundang tindakan tatatertib kepada 13 mahasiswa/wi UKM tersebut. Sedangkan kawasan UKM merupakan sebahagian daripada kawasan parlimen Serdang, maka tidak wujudnya sebarang masalah sekiranya PMUKM menjemput YB Serdang untuk mengatasi isu air tersebut. Malangnya HEP UKM menjadikan kemasukan YB Serdang sebagai salah satu kesalahan tatatertib yang menghadapkan 13 mahasiwa/wi tersebut ke mahkamah universiti.

Turut dimaklumkan bahawa pihak universiti UKM tidak membenarkan kebanyakan pemimpin mahasiswa yang terlibat dalam isu air ini untuk terus menetap dalam kolej kediaman varsiti tanpa sebarang alasan ataupun justifikasi. Tindakan sebegini adalah tidak bertimbang rasa dan yang lagi menzalimi adalah bahawa pimpinan mahasiswa kini pula dikenakan tindakan tatatertib. HEP UKM jelas menindas dan menzalimi mahasiswa/wi.

Saya ingin mengingatkan pihak universiti UKM bahawa peranan pihak pentadbiran kampus adalah untuk mempertingkatkan prestasi akademik varsiti dan memupuk pemimpin negara yang berupaya untuk berfikir secara matang dan kritikal. Universiti bukan wadah kerajaan untuk menindas dan menzalimi mahasiswa/wi yang lantang bersuara.

Sesungguhnya pihak universiti awam, tidak kira UM, UIA ataupun UKM, telah dibuktikan bahawa lebih cenderung untuk menjadi ajen politik UMNO BN dalam menghapuskan segala gerakan mahasiswa yang sedia ada daripada berusaha untuk meningkatkan kebebasan akademik di kampus masing-masing. Dari insiden kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Universiti Malaya, kejadian YB Pandan, Rafizi Ramli yang dirampas mikrofon ketika sedang berucap di UIA, dan kini tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap pimpinan mahasiwa UKM, pihak HEP di setiap varsiti awam adalah jelas tidak menjunjung semangat kebebasan akademik yang sepatutnya wujud di setiap kampus.

Sebenarnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di setiap kampus adalah cawangan Unit Khas (Special Branch) yang berfungsi untuk mengawasi segala tindak-tanduk mahasiswa/wi yang lantang mempertahankan hak mereka. Autonomi kampus dan kebebasan akademik hanya akan wujud dan disuburkan dengan pemansuhan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) serta bahagian HEP yang berfungsi sebagai ajen rejim UMNO BN.