Dalam bulan kemerdekaan yang sepatutnya menyatupadukan rakyat Malaysia, Ketua Menteri Melaka merasmikan Majlis Kempen Kibar Jalur Gemilang , manakala EXCO Negeri Melaka / Ketua Pemuda UMNO menyemai politik kebencian.
Kesilapan yang berlaku dalam insiden Jalur Gemilang di Pulau Pinang sepatutnya ditangani secara matang dan berhemah, bukan dijadikan modal politik untuk membakar sentimen kebencian demi keuntungan politik sempit. Sekiranya ada pelanggaran undang-undang, kita harus mengizinkan proses perundangan mengambil tempat secara telus.
Reaksi keterlaluan Dr Akmal bukan sahaja menimbulkan kegelisahan awam, malah telah menanam ketakutan dalam kalangan rakyat untuk mengibarkan bendera negara sendiri. Inilah akibat apabila semangat patriotisme disempitkan dengan lensa politik kebencian yang memecahbelahkan rakyat.
Malaysia memerlukan pemimpin yang menyatukan, bukan memecahbelahkan. DAP serta rakyat Malaysia yang munasabah dan rasional tidak akan bertolak ansur dengan sikap melampau seperti ini.
DAP Melaka harus menamatkan kerjasama politik dalam pilihanraya dengan mana-mana ahli politik yang tidak berniat membina masyarakat yang harmoni dan inklusif.
Terserahlah pada kebijaksanaan pengundi Dr Akmal.