Saya merujuk kepada kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam (8 Februari) yang mengesyorkan pintu sempadan negeri akan bersedia untuk dibuka sepenuhnya seawalnya 1 Mac kepada semua pengunjung negara luar tanpa keperluan menjalani kuarantin wajib.
Akan tetapi, beberapa jam setelah pengumuman ini dilakukan, Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein pula mengatakan pembukaan sempadan negeri hanya akan dibuka setelah selesainya perundingan antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Imigresen. Beliau juga berkata yang tarikh pembukaan yang sebelum ini dicadangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah cadangan semata-mata dan apa-apa cadangan MPN perlu dibawa ke jemaah kabinet untuk keputusan muktamad.
Kenyataan Menteri Pertahanan seperti ini seolah-olah meremehkan cadangan yang dibuat oleh MPN lagi-lagi kerana ia telah dikhabarkan dan diluaskan dalam media. Ia juga memperkecil fungsi MPN yang sepatutnya mengemukakan strategi dan pemetaan keluar daripada fasa pandemik. Jadi, tercetus tanda tanya di mana adakah jemaah menteri dan MPN bekerjasama dan berkomunikasi dalam menentukan masa depan pemulihan negara atau akan terus berdolak-dalik dan mengeluarkan kenyataan media yang bercanggah antara satu sama lain.
Ia juga harus diingatkan yang sebagai Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi pangkat selaku menteri. Ini bermaksud beliau diberi akses keistimewaan, gaji dan faedah yang sama seperti menteri yang lain. Jadi, jika beliau menggalas kepentingan yang sama, kenapa jemaah menteri tidak endahkan cadangan yang dikemukakan beliau? Kenapa perlu menidakkan tarikh yang disebut iaitu 1 Mac dan berkata perundingan lanjut perlu dilakukan? Ketidakselarasan seperti ini mengelirukan rakyat dan memberi harapan palsu lagi-lagi bagi mereka yang masih terjejas dari ekonomi yang tidak stabil.
Akhirnya, saya bimbang kepentingan khas yang diberikan kepada MPN hanyalah dangkal semata-mata. Kita harus ingat Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi MPN setelah beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Jangan disebabkan sifat ingin menjaga hati dan kepentingan politik yang pihak kerajaan tubuhkan MPN dan posisikan beliau sebagai Pengerusi. Oleh kerana, jika cadangan-cadangan beliau hanyalah momokan sementara, baik bubarkan MPN dan pecatkan TSMY sebagai Pengerusi supaya duit kerajaan yang diperuntukkan kepada majlis tersebut boleh dijimatkan.