Skip to content

Bebaskan Fahmi Reza: Tegakkan Prinsip Kebebasan Bersuara

Saya menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini yang menyatakan ketidaksetujuan beliau terhadap tindakan menangkap atau mendakwa pereka grafik Fahmi Reza berhubung poster yang dikatakan memperlekehkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah. Pendapat ini mencerminkan komitmen Perdana Menteri terhadap prinsip kebebasan bersuara, yang merupakan asas penting dalam sebuah negara demokratik.

Namun, saya amat kesal dengan tindakan pihak polis yang telah menahan Fahmi Reza di Penampang, Sabah, semalam. Tindakan sebegini bertentangan dengan semangat reformasi yang dijanjikan oleh Kerajaan Madani dan boleh dianggap sebagai satu bentuk intimidasi terhadap suara rakyat yang kritis.

Sehubungan itu, saya menyeru pihak polis agar segera membebaskan Fahmi Reza daripada tahanan. Prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati dan dijadikan panduan utama dalam pelaksanaan undang-undang, kecuali terdapat pelanggaran undang-undang yang jelas, seperti dalam kes-kes yang melibatkan institusi Raja-Raja.

Kerajaan juga perlu memastikan bahawa ruang awam untuk rakyat bersuara dan menyatakan pandangan, terutama kritikan terhadap pihak berkuasa, sentiasa terpelihara. Sebarang tindakan yang menyekat kebebasan bersuara hanya akan mencemarkan imej Kerajaan Madani yang bertekad untuk membawa perubahan positif dan inklusif kepada negara.

Marilah kita bersama-sama mempertahankan demokrasi dan memperjuangkan kebebasan bersuara demi masa depan Malaysia yang lebih adil, terbuka, dan progresif.