Skip to content

‘Beg terbesar di dunia, sofa terpanjang di Malaysia’ seolah-olah DBKL tak ada kerja lain

Saya membaca laporan mengenai cadangan menghasilkan beg dan sofa dengan tujuan mencipta rekod sebagai sekadar satu usaha ke arah pembaziran dan isyarat menunjukkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur lebih suka menghabiskan sumbernya kepada perkara yang bukan-bukan (http://m.malaysiakini.com/news/298666).

Kenapa perlu bazirkan sumber tenaga kerja, masa dan wang ringgit untuk menghasilkan sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada orang ramai?

Alangkah baiknya kalau DBKL menunjukkan rasa teruja yang serupa dalam usahanya untuk mencipta rekod penjagaan tandas awam terbersih atau taman awam terbaik dalam Malaysian Book of Records dan Guinness World Records.

Atau barangkali mengadakan pertandingan dan memberi hadiah kepada mereka yang berjaya menangkap tikus dari lorong kedai atau mengutip sampah paling banyak dari Sungai Klang.

Usaha menghasilkan beg terbesar di dunia dan sofa terpanjang di Malaysia ini menunjukkan seolah-olah DBKL tak ada kerja lain demi kebaikan penduduk ibu kota.

Marilah kita sama-sama mengharapkan supaya Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Hj. Ahmad Phesal akan meninggalkan legasi yang baik untuk ibu negara Malaysia ini sebelum kontraknya tamat pada bulan Julai nanti.