Menerusi Sidang Khas MKN: Pengurusan COVID-19 yang berlangsung semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan bahawa Pulau Pinang akan menerima jumlah penghantaran vaksin berganda berbanding pada bulan Jun 2021.
Justeru, adalah diharapkan dengan bekalan berkaitan, ia akan membolehkan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tersenarai termasuk PPV lapangan (on site) membabitkan beberapa syarikat multinasional yang masih menunggu lampu hijau dapat dibuka serta beroperasi sepenuhnya. Kini, sebanyak 11 PPV awam telah beroperasi termasuk di SPICE Arena dan Universiti Sains Malaysia (USM); PPV khas bagi ‘economic frontliners’ (1); hospital swasta (7) dan klinik swasta (19).
Secara keseluruhan, kadar vaksinasi harian bagi negeri Pulau Pinang kini adalah melebihi sasaran ditetapkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berlandaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dibentangkan sebelum ini dengan mensasarkan bahawa imuniti kelompok dapat dicapai pada Oktober 2021.
Menerusi PICK, sasaran vaksinasi yang ditetapkan oleh MOSTI kepada negeri Pulau Pinang bagi bulan ini (Jun 2021) adalah berjumlah 6,544 dos sehari, walau bagaimanapun, hasil usaha sama Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan pihak-pihak berkaitan, kita telah capai 14,422 suntikan pada 24 Jun 2021 dengan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mencatatkan tahap melebihi kapasiti maksimum ditetapkan.
Secara keseluruhan, sehingga 24 Jun 2021, laman vaksincovid.gov.my melaporkan bahawa prestasi vaksinasi Pulau Pinang adalah pada kadar 13.91 peratus. Kerajaan Negeri akan terus menggembleng sepenuh sumber bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang divaksinasi sepenuhnya.