Skip to content

Bekas Ketua Polis Negara menghina DYMM Sultan Selangor dengan membuat tuduhan yang menyimpang dan tidak berasas

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar ketika berucap di dalam jamuan teh diraja bersama pesara kerajaan sempena ulang tahun ke-68 DYMM Sultan Selangor telah menyelar mereka yang menyentuh isu ‘taboo’ secara tidak sopan. Beliau telah menyalahkan ‘fenomena media alternatif’ yang pada pendapat beliau telah merosakkan institusi diraja, agama Islam dan telah menyebabkan rakyat Malaysia mula menyoal hak istimewa Bumiputera.

Beliau berkata seolah-olah perbuatan menyoal institusi diraja dan hak istimewa Bumiputera ini baru lagi berlaku dan tiada pernah didebat sebelum ini. Ini adalah kenyataan yang tidak masuk akal dan mempersendakan memori dan kebolehan berfikir rakyat Malaysia.

Tun Hanif Omar yang pernah bertugas ketika negara ditadbir oleh Tun Mahathir mungkin telah lupa dengan beberapa kejadian dan fakta yang telah berlaku pada satu ketika dulu.

Tun Mahathir pada tahun 1965, di dalam Parlimen telah mempersoalkan dan mengkritik Perlembagaan Negara dan mengatakan bahawa Perkara 153 memalukan orang Melayu. Serangkap kenyataan beliau di dalam Hansard 11 Ogos 1965, muka surat 41-43 seperti berikut;

“Saya tidak perchaya, saya sebutkan lagi tidak perchaya dengan di-ada-kan, dengan di-chatitkan di-dalam Per-lembagaan hak2 bumiputra, maka ini akan membawa kapada kesenangan bagi orang2 Melayu.

“Dan pada satu masa kita akan buang sama sa-kali hak2 istimewa orang Melayu. Saya faham bahawa hak2 ini yang ada terchatit di-dalam Perlembagaan pada masa sekarang juga ia-lah satu tanda kehinaan bagi orang2 Melayu.

Sejak tahun 1965 lagi, Tun Mahathir bukan sahaja telah mempersoalkan hak istimewa orang Melayu , beliau juga telah mengatakan bahawa hak istimewa orang Melayu ini akan melemahkan orang Melayu sendiri.

“I feel very sad when I hear Malays talk about Ketuanan Melayu. Apparently, there is Malay reserve land because we are Tuan. But to have to live in a Malay reserve is an insult because that means I’m so weak that I’m to be protected in my own country. It is not something to be proud of.”

“Saya berasa sedih apabila orang Melayu berkata mengenai Ketuanan Melayu. Kononya, terdapat tanah rizab melayu kerana kita adalah ‘Tuan’. Tetapi untuk tinggal di tanah rizab melayu adalah satu penghinaan kerana ianya menunjukkan saya sangat lemah dan perlu dilindungi di dalam negara saya sendiri. Ini bukan satu perkara yang boleh dibanggakan.”

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Tun Mahathir sendiri pada 6 June 2011 ketika beliau berucap di National Professors’ Congress. Beliau telah konsisten dalam mengeluarkan kenyataan berkenaan anti-hak istimewa orang Melayu dan pendirian anti-perlembagaan, terutamanya Perkara 153.

Tun Mahathir yang merupakan mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun, telah menunjukkan taat setia kepada Raja dan Negara pada 1983 dan 1993, pada masa yang sama, beliau juga telah memaksa kelucutan kuasa diraja untuk melantik pegawai tinggi kerajaan walaupun telah dibantah oleh Majlis Raja-Raja.

Dengan mengeksploitasikan dua per tiga majority di Parlimen, Tun Mahathir bukan sekali tetapi dua kali mendalangi pindaan Perlembagaan Negara bukan sahaja untuk merendahkan sistem monarki tetapi juga merampas prerogatif atau hak mutlak diraja.

Sekiranya ada penyokong pembuatan khianat dan mempersoalkan insitusi diraja, UMNO lah yang juara, tidak asing lagi. ‘Fenomena media alternatif’ bukan sahaja tidak dapat menandingi, malah tidak layak untuk berada satu barisan dengan UMNO dalam mengkhianati dan mempersoalkan institusi diraja.

Walaupun ucapan beliau tidak masuk akal dan tidak sesuai untuk didengari oleh sesiapa, beliau ada membuat satu kenyataan mendakwa bahawa ‘adanya rancangan besar untuk membawa kepada kehancuran negara’ dan kami bersetuju dengan kenyataan ini.

Kerajaan Barisan Nasional yang gemar menyalahgunakan dana, mengkayakan kroni secara neponistik dengan mengorbankan rakyat Malaysia sendiri, sentiasa mengeluarkan kenyataan rasis dan merepek untuk menghukum sesiapa yang tidak menyokong mereka adalah pastinya tanda-tanda yang menyokong kenyataan beliau tentang adanya ‘rancangan besar untuk menghancurkan negara’.

Kami dengan ini meminta supaya Tun Hanif Omar menarik semula dakwaan-dakwaan beliau yang menyimpang dan tidak berasas di dalam ucapannya di jamuan the diraja untuk sempena ulang-tahun DYMM Sultan Selangor, yang kami percaya secara tidak langsung juga menghina DYMM Sultan Selangor.

Kami juga meminta Tun Hanif Omar untuk menyokong kenyataan di atas sekiranya beliau benar-benar ikhlad menegakkan hak orang Melayu dan insitusi diraja bahawa Tun Mahathir dan UMNO adalah dalang sebenar ‘rancangan besar untuk membawa kepada kehancuran negara’ yang beliau sebutkan dan sedang berjaya membawa negara ini ke arah kealpaan.