Skip to content

Belanja tambahan RM1.5 billion untuk membeli baki 11.2 juta dos daripada Pharmaniaga bagi menvaksinasi sepenuhnya semua 18.8 juta orang dewasa yang telah mendaftar untuk mencapai imuniti kelompok dengan segera

Malaysia mencatat rekod tertinggi 219 kematian COVID-19 pada 2 Ogos. Kita perlu fokus menyelamatkan nyawa dan bukannya menjimatkan kos. DAP mendesak Kerajaan PN untuk membelanjakan tambahan RM1.5 bilion bagi membeli baki 11.2 juta dos yang diperlukan daripada Pharmaniaga untuk menvaksinasi semua 18.8 juta orang dewasa yang telah mendaftar untuk divaksinasi sepenuhnya dan mencapai imuniti kelompok.

Kerajaan Persekutuan tidak perlu menunggu dua hingga tiga bulan lagi untuk semua vaksin Pfizer tiba, tetapi segera membeli 11.2 juta vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga, yang mempunyai 14 juta vaksin untuk dijual. Rakyat Malaysia sudah letih menunggu temujanji vaksin mereka, terutamanya mereka yang telah mendaftar pada bulan Februari atau Mac. Ada yang tidak kena dengan sistem MySejahtera apabila ia tidak dapat beroperasi berdasarkan ‘first-come first-service’ walaupun telah RM70 juta telah dibelanjakan.

Dalam ucapannya di Parlimen pada 28 Julai 2021, Menteri Penyelaras Vaksinasi Khairy Jamaluddin menyebut bahawa 12.5 juta rakyat Malaysia sekurang-kurangnya telah menerima dos pertama daripada 18.8 juta orang dewasa yang telah mendaftar. Oleh kerana 18.8 juta orang dewasa Malaysia yang telah mendaftar merupakan 80.5% populasi orang dewasa di Malaysia, 37.6 juta dos vaksin diperlukan. Kerajaan telah menerima 26.4 juta dos vaksin, kurang 11.2 juta dos yang dijangka tiba dalam dua hingga tiga bulan akan datang.

Daripada 26.4 juta dos vaksin yang telah diterima, 18.4 juta dos telah diberikan. Baki 8 juta dos akan selesai diberikan dalam 16 hari sekiranya kadar semasa 500,000 dos sehari dicapai. Apa yang diperlukan adalah 11.2 juta dos vaksin lagi bagi membolehkan PICK melakukan imunisasi dengan segera kepada semua 18.8 juta orang dewasa yang telah mendaftar. Mengapa tidak membeli baki 11.2 juta dos daripada Pharmaniaga yang menjual 14 juta dos Sinovac?

RM5.8 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan PN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan lain yang berkaitan tidak cukup untuk membiayai anggaran kos RM1.5 bilion untuk mendapatkan 11.2 juta dos Sinovac dari Pharmaniaga. Rakyat Malaysia tidak faham mengapa kerajaan tidak dapat menyediakan RM 1.5 bilion lagi untuk segera membeli 11.2 juta dos vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga.

Khairy mendakwa bahawa kerajaan tidak mempunyai cukup wang untuk membeli daripada Pharmaniaga sekarang. Ingin saya nyatakan di sini bahawa pembangkang bersedia memberi sokongan untuk meminjam atau mendapatkan dana bagi tambahan RM1.5 bilion untuk membeli 11.2 juta dos vaksin sekarang bagi mengimunisasi semua 18.8 juta populasi dewasa yang telah mendaftar.

Menunggu dua hingga tiga bulan lagi sehingga semua vaksin tiba adalah terlalu lama dan sudah terlambat. Menurut Kementerian Kesihatan, daripada 15,764 kes jangkitan baru, 78% kes adalah dari mereka yang tidak divaksinasi. Bagi mereka yang berada dalam Kategori 5 yang paling serius, 98% adalah daripada mereka yang tidak divaksinasi. Berapa banyak lagi rakyat Malaysia yang akan mati dalam 3 bulan akan datang kerana mereka tidak divaksinasi?

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing mengatakan bahawa adiknya tidak akan mati akibat COVID-19 sekiranya dia telah divaksinasi lebih awal. Nyawa adalah terlalu berharga untuk hilang begitu sahaja. Negara dapat memperoleh kembali kos tambahan sebanyak RM1.5 bilion ini dengan mengimbangi keuntungan ekonomi daripada pembukaan semula ekonomi lebih cepat. Kita ingin mencapai imuniti kelompok melalui suntikan vaksin bukan melalui suntikan vaksin dan jangkitan.