Skip to content

Belanjawan 2022 akan menjadi ujian bagi kerajaan Ismail Sabri

Belanjawan 2022 akan menjadi ujian sama ada kerajaan Ismail Sabri bersikap realistik dan komited untuk menangani masalah ekonomi yang melanda ekonomi Malaysia atau Belanjawan awal untuk pilihan raya yang terlampau optimis untuk menghasilkan “feel-good factor” untuk menghadapi pilihan raya negeri Melaka yang akan datang. Belanjawan 2022 perlu mengelak daripada unjuran ekonomi yang terlalu optimis seperti Belanjawan 2021, yang bukan sahaja gagal mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan tetapi mempengaruhi keyakinan ekonomi dengan banyak sasaran ekonomi yang tersasar.

2020 sudah menjadi tahun sasaran ekonomi yang tidak tercapai ketika Malaysia mengalami defisit belanjawan sebanyak 6.2% daripada KDNK berbanding dengan unjuran awal 6%, kadar pengangguran pada 4.5% dibandingkan dengan unjuran 4.2% dan pertumbuhan KDNK pada (-5.6%) berbanding dengan unjuran (-5.5%). Dengan ketidakcekapan berterusan oleh Menteri-Menteri, ketidakstabilan politik, krisis perlembagaan dan lonjakan pandemik COVID-19, sasaran ekonomi Malaysia yang diunjurkan semasa Belanjawan 2021 berkemungkinan akan mengulangi sasaran yang tidak tercapai seperti tahun 2020.

Untuk tahun 2021, defisit belanjawan tidak dapat diturunkan kembali kepada 5.4% seperti yang diunjurkan tetapi berkemungkinan meningkat kepada lebih daripada 7%. Kadar pengangguran tidak dapat dikurangkan menjadi 3.5% tetapi berkemungkinan meningkat kepada 5%. Pertumbuhan KDNK berkemungkinan akan diturunkan daripada unjuran Belanjawan 2021 yang terlalu optimis setinggi 7.5% menjadi pertumbuhan tidak bermaya pada 4% walaupun terdapat 8 pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM530 bilion dan Belanjawan 2021 RM322.5 bilion, yang terbesar dalam sejarah. Bank Dunia bahkan telah menurunkan ramalan awal kadar pertumbuhan negara kepada serendah 3.3% untuk tahun 2021.

Dengan kata lain, ekonomi kita tidak akan dapat dinormalisasi pada akhir 2021 dan akan tetap lebih kecil daripada akhir tahun 2019, tahun terakhir ketika PH menjadi kerajaan. PH dan DAP telah berusaha untuk membantu rakyat dan perniagaan, terutama PKS, dengan memaksa kerajaan untuk menyetujui suntikan dana tambahan RM45 bilion dan pengecualian faedah selama tiga bulan untuk 50% rakyat terbawah dengan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Perdana Menteri.

Salah satu aspek utama suntikan dana RM45 bilion tersebut adalah tambahan bantuan kebajikan dan bantuan langsung, terutamanya kepada golongan miskin, pesara, orang kurang upaya dan graduan baru untuk membolehkan mereka mendapat apa yang dianggap sebagai upah sara hidup atau “living wage”. Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini telah mendefinisikan upah sara hidup sebagai tahap pendapatan yang diperlukan untuk isi rumah bagi mendapatkan taraf hidup minimum yang dapat diterima untuk memenuhi keperluan asas pekerja, merangkumi daripada pemakanan, perumahan, penjagaan anak dan pendidikan hingga simpann, serta mempunyai beberapa pendapatan tambahan.

Pada tahun 2018, Bank Negara telah menganggarkan bahawa upah sara hidup di Kuala Lumpur untuk seorang dewasa bujang adalah RM2,700, sementara untuk pasangan tanpa anak adalah RM4,500, dan untuk pasangan dengan dua anak, ia akan menjadi RM6,500. BNM menganggarkan bahawa lebih daripada satu perempat isi rumah di Kuala Lumpur berpendapatan di bawah upah sara hidup.

Kerajaan perlu fokus untuk meningkatkan pendapatan purata isi rumah kepada RM10,000 dalam tempoh empat tahun ke depan serta meningkatkan pendapatan penengah semasa sebanyak RM2,000 sebulan. Bergantung hanya pada pendapatan purata isi rumah adalah mengelirukan, dengan mengabaikan jurang besar antara kaya dan miskin. Dengan pendapatan penengah RM2,000, ini bermakna separuh daripada penduduk memperoleh kurang daripada RM2,000 sebulan.

Sama seperti Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang mengecewakan kerana secara tidak realistik dalam mengunjurkan kadar pertumbuhan sasaran 4.5% hingga 5.5% bagi RMK-12 menjelang 2025 sedangkan kerajaan mengakui pertumbuhan purata di bawah RMK-11 hanya 2.7%, Belanjawan 2022 tidak sepatutnya menjadi Belanjawan biasa pada waktu yang luar biasa. Selama tiga siri Rundingan Belanjawan dengan Menteri Kewangan, PH telah menekankan bahawa Belanjawan 2022 perlu mengutamakan rakyat dan bukannya mengutamakan politik untuk kroni.