Baru-baru ini semasa saya hadir ke program anjuran Women Entrepreneur Network Association (WENA) yang dihadiri oleh para usahawan wanita dalam pelbagai industri, mereka telah menyuarakan pandangan dan cabaran yang dihadapi kesan pindaan Akta Kerja (Pindaan) 2022. Dewan Rakyat pada 21 Mac 2022 telah meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 yang mengandungi beberapa bahagian penting dalam pindaan tersebut termasuk penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.
Biarpun pelaksanaan pindaan ini yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 September tetapi ditangguhkan ke 1 Januari 2023 seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, namun apa yang perlu diberi perhatian adalah impak langsung terhadap para majikan. Maklum balas daripada usahawan wanita yang terlibat dalam pelbagai industri memberitahu hanya 68.1% daripada mereka sedar bahawa terdapat perubahan cuti bersalin dan paterniti serta 78.7% merupakan bisnes yang dimiliki wanita dan mempunyai pekerja wanita berusia di bawah umur 50 tahun. Ini bermaksud golongan yang akan terkesan dengan pindaan ini bukan kecil jumlahnya dan kebanyakan mereka masih tidak mengetahuinya.
Walaupun Malaysia kini berada di fasa endemik, tetapi beberapa pindaan tersebut akan menambah beban kepada para majikan kerana:
- kesan pasca Covid terhadap majikan yang masih bergelut untuk bangkit;
- pelaksanaan serentak gaji minima;
- kenaikan harga barang; dan
- majikan mengalami kekurangan pekerja yang memberikan kesan kepada produktiviti perniagaan mereka.
Semua faktor ini memberikan impak kewangan yang parah terhadap perniagaan mereka apabila berjalan dengan serentak. Kerajaan disaran melakukan libat urus yang lebih extensif dengan para majikan terutama usahawan dan pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita untuk memahami situasi sebenar mereka.
Akta Kerja (Pindaan) 2022 wajar disokong kerana ia melindungi para pekerja, tetapi dalam masa yang sama Kerajaan seharusnya mempunyai persediaan menangani impak kepada para majikan. Belanjawan yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan wajar mengambil kira impak kewangan yang terpaksa ditanggung oleh para majikan dan saya menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan:
- insentif seperti menanggung pembayaran upah sesebuah perusahaan IKS yang mempunyai majoriti atau keseluruhan pekerja mereka adalah wanita; dan
- memberikan elaun kepada majikan untuk mencari pengganti semasa tempoh cuti yang terlibat.
Bantuan seperti ini bagi memastikan pindaan undang-undang ini tidak menghasilkan diskriminasi yang tidak diingini oleh golongan ibu atau bapa yang memerlukan cuti materniti/paterniti (“counterproductive effect”) sehingga mereka hilang peluang pekerjaan. Situasi ini boleh menghalang para majikan daripada mengambil wanita untuk bekerja dan secara tidak langsung menjejaskan kebolehpasaran golongan wanita yang bekerja. Kita perlu ingat, kebanyakan perniagaan dan syarikat ini baharu mula pulih daripada kesan kemelesetan ekonomi yang disebabkan Covid dan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan kepada pekerja mereka apabila mereka sendiri pun bergelut untuk pulang modal. Jika tanpa libat urus dengan para pemegang taruh, semua pindaan yang baik ini hanya akan menjadi sia-sia sahaja.