Secara dasar, belanjawan 2016 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan 2 minggu lalu boleh dirumuskan sebagai mendukacitakan, mengecewakan, menghampakan dan jauh terpesong dari tema “Mensejahtera Kehidupan Rakyat”.
Tuan Speaker,
Saya ingin mengutarakan beberapa isu yang baru-baru ini mendapat perhatian semua rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa juga.
Setiap pelusuk Malaysia telah digemparkan dengan kehilangan 7 orang kanak-kanak Orang Asli Temiar pada 23 Ogos 2015 yang berumur diantara 7 tahun sehingga 11 tahun dari asrama SK Pos Tohoi di Gua Musang. Selepas 47 hari hilang di hutan jasad 4 yang tidak bernyawa kanak-kanak kecil mula dijumpai satu demi satu dan masih ada seorang lagi yang belum ditemui lagi. Dalam tragedi ini, muncul 2 kanak-kanak perempuan yang dijumpai selamat, dalam keadaan kurus seperti rangka, berpaut sesama sendiri kerana takut. Takut kene marah? Takut cikgu? Takut pulang ke sekolah?
Insiden ini bukan sahaja menimbulkan seribu satu pertanyaan yang bermula dari keadaan infrastruktur sekolah seperti ketiadaan air di sekolah yang menyumbang kepada semua kanak-kanak keluar mandi di sungai berhampiran, kualiti makanan yang amat pathetic dan menyedihkan di asrama, termasuklah laporan kanak-kanak yang terpaksa tidur diatas lantai!
Pada 12 Oktober yang lalu, saya bersama ADUN bagi Damansara Utama telah membuat satu lawatan ke Pos Tohoi dan berpeluang untuk duduk dan mendengar keperitan ibu-bapa kepada kanak-kanak yang hilang dan ketabahan mereka dalam berhadapan dengan malapetaka yang melanda keluarga mereka. Saya mendapati bahawa pihak keluarga tidak dimaklumkan secara rasmi oleh pihak sekolah akan kehilangan anak mereka dan mereka telah menerima maklumat ini daripada pengawal keselamatan di asrama SK Pos Tohoi. Dan apabila mendapat maklumat berita kanak-kanak hilang ibu bapa tidak dibenarkan sama sekali oleh pihak berkuasa untuk melancarkan usaha mencari dan menyelamat oleh pihak ibu bapa sendiri. Mengapa tidak dibenarkan?
Bagaimana 7 kanak-kanak kecil mampu menyelinap keluar dari perkarangan asrama tanpa pengawalan atau pemantauan dari pihak sekuriti sekolah?
Pengurusan dan kualiti pentadbiran yang tidak profesional serta kakitangan di sekolah dimana tiada guru besar di sekolah pada ketika kanak-kanak ke sungai utk mandi, tiada warden wanita serta guru wanita disana, kemudahan pengangkutan untuk kanak-kanak berulang alik dari kampung yang jauh menaiki Hilux terbuka menggunakan laluan balak yang penuh dengan debu merah dan kuning, serta pelbagai isu lagi seperti isu bahasa, identiti, budaya dan isu teras – ketiadaan kasih sayang bagi kanak-kanak Orang Asli ini dibawah satu sistem pentadbiran yang tidak cekap telah menyumbang kepada tragedi kehilangan kanak-kanak ini dan akan mengundang bahaya lagi.
Kepada semua Ahli Parlimen disini, di sebelah saya dan disebelah sana, adakah YB akan menghantar anak-anak anda yang berumur 7 tahun ke sekolah asrama dimana anak kecil ini terpaksa berdikari tanpa apa-apa sokongan dan bimbingan, basuh baju sendiri, sikat rambut sendiri, makan sendiri, mandi? Mungkin bagi sesetengah yang ada disini, ini adalah sesuatu yang biasa, tetapi ianya boleh diterima jika dengan pemantauan ibu bapa atau penjaga berdekatan. Daripada 7 kanak-kanak Orang Asli Temiar hilang di hutan, ketakutan dan kelaparan, 4 daripada mereka telah mati dan seorang masih hilang lagi dan disebabkan kehilangan dan kematian anak-anak kecil inilah keadaan sebenar kehidupan Orang Asli yang tidak diberikan perhatian yang “long overdue” oleh media dan rakyat Malaysia.
Mengapa harus 5 kanak-kanak yang tidak bersalah mati disebabkan kecuaian dan keterbiaran oleh pihak berkuasa, pihak sekolah, JAKOA, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pendidikan? Malah saya salahkan Perdana Menteri sendiri kerana beliau sibuk mengejar populariti dengan jari telunjuk 1Malaysianya disamping memenggal orang-orang yang paling dekat dengannya untuk kepentingan peribadi, 5 kanak-kanak tidak berdosa telah mati disebabkan oleh satu sistem yang korup, kejam, zalim dan tidak bebas.
Apakah alasan oleh satu kerajaan yang kononnya berwawasan dan kononnya berprinsip jika kualiti pendidikan yang terbaik, prasarana yang kondusif serta keutamaan keselamatan bagi setiap pelajar tidak dapat diberikan memandangkan pendidikan anak-anak adalah pelaburan terbaik bagi masa depan sesebuah negara?
Adakah kerajaan akan memikul tanggungjawab diatas kehilangan 7 kanak-kanak Orang Asli dan kematian 4 lagi dan apakah usaha realistik yang akan diambil oleh kerajaan untuk memastikan perkara ini tidak berlaku lagi memandangkan ini adalah “human error” sepenuhnya? Heads must roll.
Saya ingin memohon perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu isu yang seringkali meletakkan kedudukan penduduk setinggan di sesebuah kawasan, wakil rakyatnya, kerajaan negeri serta pihak pemaju dalam satu keadaan dimana kuasa dan peruntukan undang-undang Kanun Tanah negara diberikan preseden yang memihak kepada pemilik tanah atau pembeli tanah dan malangnya nilai perikemanusiaan serta pampasan yang adil kadanag-kadang tidak diberikan kepada penduduk diatas tanah tersebut.
Saya pasti ramai Ahli Parlimen disini, kalau bukan semua telah atau akan berhadapan dengan isu pengusiran penduduk dari tanah yang mereka duduki itu dengan peruntukan undang-undang KTN. Peguam akan berhujah menggunakan undang-undang sedia ada, mahkamah akan membuat keputusan berlandaskan undang-undang yang sedia ada dan wakil rakyat akan melakukan sebanyak mana yang boleh untuk mendapat keadilan bagi penduduk setinggan di setiap kawasan mereka.
Malangnya, dari sudut perjalanan undang-undang semuanya mengikut akta dan peruntukan yang sedia ada, tetapi dimanakah keadilan bagi penduduk setinggan dalam undang-undang jika keluarga yang menduduki tanah tersebut selama lebih 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun tidak diperuntukkan pampasan yang sewajarnya dan seadilnya?
Pada 6 Oktober lalu Ahli Parlimen Seremban bersama dengan ADUN Temiang dan 15 lagi telah ditahan oleh pihak polis kerana membantah perobohan dan pengusiran penduduk di Kampung Ulu Temiang yang terdiri dari pelbagai kaum yang telah menduduki tanah tersebut lebih 40 tahun. Apa yang diharapkan oleh mana-mana penduduk dalam keadaan ini adalah pampasan yang adil daripada pihak pemaju atau kerajaan negeri supaya mereka dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa selepas proses pengusiran mengambil tempat. Malangnya, apa yang berlaku adalah dalam kebanyakan kes, tiada keadilan bagi golongan penduduk setinggan ini dari segi pampasan mahupun hak bersuara. Walaupun hal-ehwal tanah terletak dibawah bidang kuasa sessbuah kerajaan negeri, namun kuasa kerajaan negeri terbatas oleh kerana wujudnya undang-undang yang outdated dan ini secara langsung menggari tangan pihak berkuasa negeri untuk membela penduduk yang diusir ini dengan adil.
Boleh saya dan semua Ahli Parlimen disini mendapat kepastian dari Majlis Tanah Negara bahawa badan ini akan meneliti undang-undang berkaitan tanah yang sedia ada dan mensyorkan pindaan kepada undang-undang dan akta yang sedia ada.
Bolehkah Majlis Tanah Negara memberikan jaminan yang masalah pengusiran yang menghantui penduduk setinggan akan ditangani dengan baik dengan meletakkan hak golongan kelas pertengahan ini diatas kepentingan pihak swasta?
Mampukah Majlis Tanah Negara berusaha untuk menggubal dasar-dasar dan undang-undang tanah yang sedia ada supaya tiada lagi kes warganegara Malaysia tidak lagi akan diusir dari rumah mereka tanpa satu pampasan adil yang dapat membantu mereka memulakan kehidupan baru selepas dipaksa keluar dari tempat yang mereka sudah lama kenal.
Maka saya ingin cadangkan disini supaya satu undang-undang baru digubal oleh Parlimen atau dipinda undang-undang yang sedia ada yang hendaklah digunakan oleh setiap kerajaan negeri untuk memastikan hak-hak penduduk setinggan dapat dilindungi dan mereka tidak akan diambil kesempatan oleh beberapa pihak yang mementingkan keuntungan. Mana-mana tanah yang mempunyai penduduk yang sudah bermastautin disana lama tidak boleh dijual beli sehinggalah masalah pampasan dan penempatan semula dirunding dan dibicara diantara pihak kerajaan negeri dan pihak pemaju. Apa yang diperlukan adalah satu keseragaman dalam Kanun Tanah Negara dan dilaksanakan oleh Majlis Tanah Negara supaya wujudnya satu pengecualian bagi kes-kes pengusiran yang selalunya penghujungnya adalah negatif.
Dalam satu soalan bertulis saya kepada Kementerian Kesihatan pada Oktober 2014 berhubung bilangan mesin MRI dan CT Scan di hospital kerajaan dan daripada bilangan itu, berapa yang masih berfungsi dan tidak, jawapan yang diberikan adalah sehingga Ogos 2014, daripada 70 buah mesin CT Scan, hanya 54 yang masih berfungsi dan daripada 35 buah mesin MRI 31 masih berfungsi. Selebihnya rosak dan akan dilupuskan. Anggaran CT Scan adalah dalam lingkungan RM1.5 juta hingga RM 5 juta dan anggaran kos mesin MRI adalah RM 3.3 juta. Saya pelik mengapa dengan peningkatan populasi rakyat Malaysia, hospital kerajaan masih memberi rawatan dengan bilangan mesin MRI dan CT Scan yang begitu rendah. Andaikata peratusan rakyat Malaysia yang mengunjungi Hospital Kerajaan sedang meningkat maka nisbah setiap mesin MRI dan mesin CT Scan kepada bilangan pesakit yang memerlukan kemudahan scanning juga haruslah ditambah juga. Mengapa Kementerian Kesihatan tidak membeli lagi mesin MRI dan CT Scan supaya giliran menunggu atau waiting list pesakit dapat dipendekkan? Saya pasti rakyat Malaysia ingin tahu kemanakah perginya bayaran cukai mereka sekiranya ianya tidak digunakan untuk membeli peralatan dan perkakas yang penting seperti mesin MRI dan CT Scan untuk kegunaan dan kebaikan rakyat. Dan jika kementerian tiada hasrat untuk membeli mesin-mesin ini saya ingin tahu justifikasi kementerian diatas keputusan yang diambil itu memandangkan keperluan mesin-mesin penting ini amatlah kritikal.
Saya ingin membawa beberapa isu Batu Kawan ke Dewan yang mulia ini.
Saya pernah membangkitkan ketiadaan sebuah hospital kerajaan di Batu Kawan dan betapa pentingnya kewujudan satu hospital disana. Apa yang ada adalah Hospital Daerah Sungai Bakap yang sudah berumur lebih 100 tahun dan juga hospital dimana Timbalan Menteri Kesihatan menjadi “houseman”, jelas tidak mampu untuk menampung bilangan pesakit dari Nibong Tebal dan Batu Kawan, 2 kawasan Parlimen yang besar di Seberang Prai. Bagi kes-kes yang kritikal, pesakit akan diferi ke Hosp Bukit Mertajam atau Hosp Seb Jaya yang juga kini sarat dengan pesakit. Kalau tidak mereka akan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Saya ingin bertanya disini, adakah kerajaan akan membina sebuah hospital di Batu Kawan dan apakah status projek pembesaran Hospital Seb Jaya dengan kos RM400 juta yang dijanjikan dalam manifesto BN dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dalam bulan Mei tahun ini dan dikatakan tender akan dibuka pada bulan Mei 2015?
Saya perlu mengingatkan Kementerian Kesihatan bahawa jika janji untuk membesarkan Hospital Seberang Jaya tidak dapat ditunaikan, bolehkah saya menganggap Kementerian Kesihatan tiada apa-apa niat atau hasrat untuk membesarkan hospital Seberang Jaya dan membina sebuah hospital besar baru di Batu Kawan memandangkan tanah kerajaan telahpun diagihkan di Batu Kawan untuk pembinaan hospital kerajaan.
Dalam sambutan perasmian Hari Sukan Negara yang berlangsung di Stadium Batu Kawan pada 9 Oktober yang saya tidak dijemput, saya mendapati ratusan anak-anak muda memenuhi jalanraya di seluruh Pulau Pinang dan merempit merata tempat. Saya berasa simpati dan mengasihani mereka ini. Apakah tujuan program sukan negara ini sekiranya anak muda masih tiada apa-apa dorongan atau visi atau satu framework untuk membimbing mereka supaya mereka mempunyai idea untuk mengolah masa depan mereka? Apakah usaha oleh kerajaan untuk membimbing anak-anak muda ini supaya mereka mempunyai visi, harapan dan impian? Apakah usaha kerajaan untuk meningkatkan “employability” anak-anak muda bukan sahaja di Malaysia tetapi di Batu Kawan juga?
Kawasan Parlimen Batu Kawan banyak terdiri daripada kawasan estet, perkampungan nelayan, perladangan khinzir, lembu dan ayam. Saya ingin bertanya disini, apakah usaha kerajaan pusat untuk terus menggalakkan perkembangan bidang-bidang ini dan apakah sy]istem sokongan yang diberikan oleh kementerian supaya bidang ini terus subur dan terus kekal?
Sesiapapun boleh merancang belanjawan sesebuah negara walaupun mereka bukan daripada latarbelakang kewangan. Beza sebuah kerajaan yang baik dan sebuah kerajaan yang hebat bukan hanyalah berdasarkan pembentangan belanjawan setahun sekali dengan laungan hebat pelbagai. Sesebuah belenjawan mestilah diiringi oleh visi serta kemahuan politik atau “political will” untuk dilaksanakan.
Malaysia akan bertambah lumpuh dengan pembentangn belanjawan oleh YAB Pekan kerana PM serta kerajaannya telah menbuktikan yang mereka tiada hasrat untuk transformasi. Tanpa pelaksanaan polisi-polisi untuk rakyat, belanjawan ini hanya tinggal rangka sahaja tanpa jasad.
Saya mengakhiri ucapan saya dengan petikan dari Mahatma Ghandi
“Be the change you want to see in the world”.
Dengan ini saya menolak Belanjawan 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri.