Skip to content

Belanjawan Perpaduan 2021 tidak akan berlaku jika Kerajaan Persekutuan PN menolak 6 langkah fiskal dan kewangan utama daripada PH demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia

Belanjawan Perpaduan 2021 tidak akan berlaku jika Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) menolak 6 langkah fiskal dan kewangan utama daripada Pakatan Harapan (PH) demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia. Ketika Malaysia menghadapi lonjakan jangkitan gelombang ketiga COVID-19, adalah mustahak semua pihak untuk bersama-sama merangka Belanjawan Perpaduan yang berkesan untuk membantu rakyat Malaysia mengatasi dan bertahan daripada kemelesetan ekonomi COVID-19 sekarang.

Malaysia mencatatkan penguncupan pertumbuhan KDNK terburuk di ASEAN sebanyak 17.1% untuk suku kedua tahun ini. KDNK 2020 dijangka menguncup sebanyak 5%, pengangguran akan mencecah 1 juta pekerja dan defisit negara akan meningkat kepada 6%. Idea-dea yang dicadangkan bagi Belanjawan Perpaduan 2021 untuk menghidupkan kembali ekonomi, pekerjaan dan perniagaan dapat diringkaskan kepada enam langkah fiskal dan kewangan utama.

  1. Meningkatkan sumber Kementerian Kesihatan untuk Wabak COVID-19 dan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dengan peruntukan khas untuk menangani krisis COVID-19 di Sabah;
  2. Memperluas perlindungan sosial, jaring keselamatan dan pembayaran kebajikan bagi golongan berisiko dan menganggur dengan meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 sehingga krisis COVID-19 berakhir seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri di Sandakan pada 30 Ogos yang akan menelan belanja RM12 bilion ;
  3. Pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank sehingga 31 Mac 2021 yang akan menelan belanja RM6.4 bilion;
  4. Meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti dalam program MalaysiaKerja dengan menawarkan insentif selama 2 tahun untuk majikan dan pekerja yang akan menelan belanja RM13 bilion;
  5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kesinambungan pendidikan; dan
  6. Perbelanjaan pembangunan untuk dua (2) projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.

DAP ingin mengulangi bahawa Belanjawan Perpaduan ini sangat penting dalam menjunjung Titah Diraja yang menolak perisytiharan darurat untuk negara, mengelakkan permintaan seterusnya untuk darurat dan juga mengelakkan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat, yang hanya akan menambah teruk jangkitan COVID-19. Belanjawan Perpaduan tidak sama dengan apa yang disebut kerajaan perpaduan seperti yang dispekulasi.

PH telah menyatakan dengan jelas bahawa proses perundingan belanjawan ini bukanlah menunjukkan sokongan atau penerimaan terhadap keabsahan politik dan moral Kerajaan Persekutuan PN sekarang. Sekiranya salah satu daripada 6 langkah utama yang dicadangkan oleh PH ditolak, maka tidak akan ada Belanjawan Perpaduan yang berkesan untuk memberi manfaat kepada negara, ekonomi negara dan rakyat Malaysia.