Skip to content

Belanjawan Selangor – biarpun defisit tetapi berisi

ADUN Barisan Nasional untuk kawasan Sungai Panjang, YB Budiman Zohdi pada minggu lalu mencabar Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail membantah Belanjawan Selangor 2018 kerana kedua-dua Belanjawan Persekutuan dan Selangor ialah Belanjawan defisit.

Memang kedua-dua belanjawan ini defisit tetapi konteks perbincangan kedua-dua belanjawan ini jauh berbeza. Belanjawan BN ialah belanjawan defisit selama 20 tahun berturut-turut sementara Belanjawan Selangor hanya defisit sejak tahun 2015.

Fokus harus diberi kepada Imbangan Tunai pada akhir tahun. Walaupun sesuatu belanjawan itu dibentangkan sebagai belanjawan defisit tetapi Selangor mampu mencapai lebihan untuk tahun 2015, 2016 dan 2017. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan bukan sahaja membentangkan belanjawan defisit selama 20 tahun berturut-turut malahan mereka tidak selalunya mencapai lebihan mahupun imbangan pada akhir tahun.

Keadaan ini telah menyebabkan rizab Kerajaan Persekutuan merosot, berbeza dengan sama rizab Kerajaan Selangor yang meningkat. Selama dua tahun berturut-turut sejak tahun 2015, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh di bawah paras US$100 bilion. Pada tahun 2013, angka ini pernah mencapai US$150 bilion. Keadaan ini bertambah perit apabila Petronas terpaksa membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan dengan menggunakan wang simpanannya dan bukan keuntungannya!

Sehingga 31 Disember 2016, rizab BNM hanya setakat US$96 bilion, berbanding dengan US$98 bilion setahun sebelumnya. BNM perlu membelanjakan wang sebanyak US$1.9 bilion hanya untuk mempertahankan mata wang Ringgit Malaysia, yang dianggap sebagai mata wang dengan prestasi terburuk di rantau Asia. Pada masa yang sama, rizab Kerajaan Selangor semakin bertambah. Angka terkini pada 30 Oktober 2017 ialah RM3.24 bilion berbanding dengan RM1.25 bilion pada tahun 2008.

Walaupun kedua-duanya belanjawan ini defisit, tetapi fokus perbelanjaan kedua-duanya jauh berbeza. Belanjawan Selangor selalunya menekankan kepada peratusan pembangunan yang lebih tinggi berbanding dengan Persekutuan. Ini hanya berlaku kerajaan mengurangkan ketirisan dan mempertingkatkan sumber pendapatan kerajaan.

Hal ini sedemikian juga kerana agensi kerajaan yang cekap serta pengurangan tunggakan hasil akibat keyakinan pembayar cukai yang tinggi terhadap pentadbiran kerajaan negeri. Maka rakyat lebih rela membayar cukai kepada kerajaan apabila mereka merasakan cukai yang dibayar berbaloi berbanding dengan perkhidmatan yang dibekalkan.

Peratusan sumbangan Selangor kepada KDNK Malaysia pada tahun 2005 hanya sekadar 20.8% tetapi ianya telah bertambah kepada 22.7% pada tahun 2016. Saya menjangka angka akan terus naik pada tahun ini dan tahun depan.

Apa makna mencatat pertumbuhan tinggi, tetapi simpanan kukuh tetapi tidak dikongsi dengan rakyat jelata? Berlandaskan tirai kecermelangan inilah kerajaan Selangor mampu membentangkan bukan sahaja sebuah belanjawan defisit, malahan sebuah belanjawan dengan peruntukan pembangunan melebihi peruntukan mengurus. Sudah pasti ini ialah sesuatu yang harus diraikan kerana sesudah sekian lama Belanjawan Persekutuan dibelenggu dengan peruntukan mengurus yang terlampau besar. Selangor merintis jalan kepada sebuah Belanjawan yang sihat.

ADUN BN Batang Kali YB Mat Nadzari bin Ahmad Dahlan juga mengkritik Belanjawan Selangor 2018 di media, di antaranya dan saya memetik daripada laporan media New Straits Times, “It is like a poor university dissertation whose content was merely repeating its old achievements.”

Saya mengucapkan syabas kepada beliau kerana secara tidak langsung, beliau mengakui apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Selangor sebagai satu “pencapaian”. Terima kasih kerana bercakap benar, akhirnya!

Profesor KS. Jomo baru-baru ini dalam laporan The Edge Financial Daily bertarikh 31 Oktober 20172 berkata bahawa kerajaan tidak harus terlalu terikat dengan pembentangan belanjawan berimbang kerana dalam menghadapi kegawatan ekonomi, kerajaan harus menggunakan rizab yang ada untuk merangsang pembangunan ekonomi melalui belanjawan defisit. Sebaliknya, beliau bercadang supaya kerajaan membayar balik hutang apabila keadaan baik dan membelanja atau berhutang dalam kegawatan ekonomi.

Maka adalah tidak menepati teori ekonomi sekiranya ADUN BN menuduh Belanjawan Selangor 2018 tanpa berlandaskan kepada realiti kerana program-program yang bakal dijalankan ada tahun 2018 merupakan program-program yang telah bermula sekian lama dan akan lebih dirancakkan pada tahun 2018, apatah lagi Selangor mempunyai kemampuan untuk melakukannya.