Seminggu yang lepas, saya cadangkan yang MUDA patut bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.
Sudah ada pelbagai maklum balas dan reaksi, termasuklah balasan dari Presiden Muda, Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman, tetapi saya percaya masih belum terlalu lambat untuk Pakatan Harapan dan Muda untuk mencapai persefahaman untuk mengelakkan dari berlakunya perpecahan undi dalam enam pilihan raya negeri kritikal yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.
Keputusan enam pilihan raya ini tidak akan membawa kepada penumbangan serta merta kerajaan perpaduan Anwar, tetapi keputusan ini akan menentukan sama ada Malaysia akan berjaya kembali semula kepada prinsip-prinsip Malaysia majmuk yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan beragama untuk kepercayaan yang lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, pengakhiran segala bentuk kezaliman dan ketaksamaan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian nasional dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Pilihan raya ini akan menentukan sama ada Malaysia akan berjaya mencapai lebih dari apa yang dijangkakan darinya dan sama ada rakyat Malaysia akan menjadi juara dunia sekali lagi dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia, dan yang lebih penting lagi, untuk Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Saya sudah bersara dari politik barisan hadapan dan saya tidak tahu apa yang sedang terjadi di antara Muda dan Pakatan Harapan atau kerajaan perpaduan Anwar.
Tetapi saya menyimpan cita-cita untuk melihat Muda bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri.