Skip to content

Benarkah rakyat Johor memerlukan satu insinerator dibina dekat Bukit Payung, dalam keadaan masih banyak pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan sisa pepejal?

Masanya telah tiba untuk rakyat Johor meneliti cadangan membina satu insinerator di kawasan Bukit Payung. Adakah ini cara yang paling tepat untuk menyelesaikan masalah sisa pepejal yang semakin bertambah dengan perkembangan pesat di negeri Johor?

Saya tidak menafikan bahawa insinerator mungkin merupakan satu langkah yang sesuai hanya selepas kita berjaya mengurangkan sisa domestik; dan insinerator yang mahu dibina itu juga hendaklah mengikut syarat dan diselenggara dengan cara yang betul dan boleh diterima.

Walau bagaimanapun, saya tidak setuju dengan pembinaan satu insinerator di Bukit Payung memandangkan pihak berkuasa berkenaan belum lagi selesai menggunakan kesemua usaha yang ada untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal.

Dalam persidangan dewan yang sedang dijalankan, saya telah menekankan beberapa kali dalam ucapan perbahasan saya bahawa, lebih kurang 50% sisa pepejal domestik adalah sisa makanan. Sisa makanan tidak sepatutnya dilupus seterus, sisa makanan boleh menjadi baja kompos organik, tetapi kita buang dan lupuskan sahaja. Jika kita mengurangkan sisa pepejal domestik 50% ini dengan cara yang betul, bukan sahaja kita dapat mengurangkan perbelanjaan untuk melupus sisa, kita juga menyelesaikan masalah sisa pepejal.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa, cadangan kerajaan pusat untuk membina insinerator di Johor adalah cadangan yang tidak wajar. Sisa makanan adalah sisa basah, bagaimanakah kita hendak membakar bahan basah?

Sebelum pembinaan tersebut diluluskan, kerajaan negeri Johor sepatutnya mengkaji semula pengurusan sisa pepejal, sudahkah kita menggunakan semua usaha yang ada untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal? Adakah pengasingan sisa dijalankan?

Johor adalah salah satu negeri yang bersetuju dengan pelaksanaan konsesi pengurusan sisa pepejal pada peringkat awal berbanding negeri lain. Kita menyerahkan kuasa pengurusan sisa pepejal kepada kerajaan pusat dengan harapan untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik.

Malangnya, selepas tujuh tahun kuasa diserah, kegiatan pengasingan sisa di sumber tidak dilaksanakan, jumlah sisa kian meningkat dengan penduduk yang kian bertambah lantaran pembangunan yang kian pesat. Oleh itu, kerajaan pusat mencadangkan pembinaan insinerator agar menyelesaikan semua masalah sisa melalui pembakaran.

Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab menggubal akta-akta dan dasar-dasar, saya amat kecewa dengan sikap kerajaan yang sebegini. Kita sepatutnya mengkaji semula dasar pengurusan sisa pepejal negeri Johor dan seluruh negara. Projek pembinaan insinerator perlu dikaji semula, pandangan penduduk tempatan dan semua rakyat perlu diambil berat.

Oleh demikian, saya menggesa kerajaan pusat serta kerajaan negeri menangguhkan projek pembinaan insinerator Bukit Payung.