Skip to content

Bencana tidak menunggu masa, projek tebatan banjir perlu segera, jangan tunggu sampai RMK-11

Saya merujuk kepada laporan media di mana Perdana Menteri Najib Razak telah menyatakan bahawa projek tebatan banjir di seluruh negara akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang akan bermula tahun 2016. (http://www.bernama.com/bernama/v7/ge/newsgeneral.php?id=1097160)

Pertama sekali, saya mengalu-alukan langkah tersebut serta menyokong sepenuhnya rancangan Perdana Menteri.

Namun, memandang keseriusan perkara ini dan fakta bahawa bencana banjir di seluruh Malaysia, terutamanya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah suatu bencana yang berlaku setiap tahun, kerajaan pusat patut memulakan projek tebatan banjir secara serius dengan serta merta dan bukan tunggu sehingga RMK-11.

Peruntukan untuk kawalan banjir di bawah Bajet 2015 tidak akan mendatangkan kesan yang besar

Di bawah Bajet 2015, dalam anggaran perbelanjaan pembangunan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, sejumlah RM1.3 billion telah diperuntukkan kepada “Pengairan dan Saliran” yang termasuk aktiviti-akviti seperti rancangan kawalan dan isyarat bahaya banjir, pemulihan struktur, projek penggantian peralatan pam, kerja-kerja kecil JPS pelbagai negeri, mencegah hakisan pantai, mengorek kuala-kuala sungai, rancangan tebatan banjir dan saliran bandar dan lain-lain.

Di bawah perkara yang sama “Pengairan dan Saliran”, pada tahun 2014, peruntukan yang diberikan ialah RM1. 1 billion.

Kejadian banjir di seluruh negara pada tahun 2014, terutamanya bencana banjir bulan Disember 2014 yang membawa kemusnahan yang begitu besar kepada Pantai Timur Semenanjung Malaysia jelas membuktikan bahawa usaha kerajaan pusat selama ini tidak mencukupi sama sekali untuk menyelesaikan bencana yang berlaku setiap tahun.

Salurkan dana “slush fund” Jabatan Perdana Menteri kepada projek tebatan banjir

Justeru, saya menggesa agar Perdana Menteri segera mengarahkan tambahan peruntukan untuk projek-projek tebatan banjir bagi Bajet 2015 dan jangan tunggu sehingga RMK11..

Peruntukan tambahan ini boleh diambil daripada dana-dana di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang sering didakwa sebagai “slush fund” ataupun dana modal politik. Contohnya, antara lima “slush fund” terbesar dalam JPM adalah seperti berikut:

Perkara

Jumlah

Program Pembangunan

RM1.1 billion

Pembangunan Lima Koridor

RM1.9 billion

Projek Khas

RM1.6 billion

Projek Mesra Rakyat

RM0.7 billion

Dana Fasilitasi

RM2.5 billion

JUMLAH KESELURUHAN

RM7.8 billion

Jumlah keseluruhan hanya lima dana ini adalah hampir lapan kali bajet 2015 kerajaan negeri Pulau Pinang.

Oleh itu, daripada menggunakan wang berbilion-bilion ini sebagai dana modal politik, dan jika beliau serius untuk menyelesaikan masalah banjir di seluruh negara, maka Perdana Menteri perlu segera menyalurkan sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah ini ke arah projek tebatan banjir di seluruh negara pada tahun ini juga.