Skip to content

Bendung COVID-19, tangguh atau batalkan penganjuran program/aktiviti

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum dan memandang serius mengenai situasi semasa COVID-19 yang mana Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengumumkan bahawa sehingga 13 Mac 2020 pada jam 12 tengah hari, terdapat 39 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, lima kes membabitkan rakyat Pulau Pinang sebagaimana dilaporkan, Kerajaan Negeri dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) adalah dikesan dalam kalangan kluster perhimpunan besar agama (religious mass gathering) di Masjid Jamek Sri Petaling sebelum ini. Siasatan dan ujian saringan bagi kes-kes berkaitan giat dijalankan dan Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan JKNPP bagi makluman dari semasa ke semasa.

Justeru, Kerajaan Negeri menyeru individu yang bergejala dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari perhimpunan besar agama berkenaan (yang berlangsung sehingga 1 Mac 2020) supaya lebih bertanggungjawab dan merujuk kepada JKNPP untuk tindakan lanjut. Ini termasuk kepada mereka yang ke luar negara (lima (5) negara yang tersenarai iaitu China, Korea Selatan, Jepun, Itali, Iran sebagai negara dilanda wabak COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk merujuk kepada Klinik Kesihatan ataupun Hospital Saringan yang ditetapkan (designated screening hospitals) bagi tujuan pemeriksaan serta persampelan.

Serentak itu juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa dan menasihati semua penganjuran program/aktiviti terutamanya di bawah Kerajaan Negeri ditangguh atau dibatalkan bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini.

Malah, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang semalam turut mengeluarkan arahan larangan perjalanan ke luar negara membabitkan anggota-anggota perkhidmatan awam di bawah Perkhidmatan Negeri Pulau Pinang sehingga keadaan semakin pulih dan arahan seterusnya dikeluarkan.

Justeru, mengambil kira keadaan semasa, rakyat Pulau Pinang diseru supaya mengamalkan nasihat-nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menegaskan agar:

  1. Orang awam tidak digalakkan untuk menghadiri perhimpunan atau tempat yang melibatkan orang ramai ` termasuklah tempat keagamaan, terutamanya mereka yang bergejala jangkitan saluran pernafasan; dan
  2. Semua penganjuran aktiviti yang melibatkan orang awam hendaklah ditangguhkan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19. KKM akan memaklumkan perkembangan jangkitan ini dari semasa ke semasa;
  3. Penjagaan kebersihan diri yang baik adalah seperti sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan hand sanitizer;
  4. Dapatkan segera dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

Bagi mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan berhubung COVID-19, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness & Response Centre (CPRC), JKN Pulau Pinang melalui alamat e-mel: [email protected] atau talian telefon 04 – 262 9902.