Skip to content

Berapa ramai lagi Ahli Parlimen dan pemimpin Pembangkang yang akan dianiayai sebagai tindakan balas dan dendam kerana terus menekan pembohongan Azam Baki bahawa akaun dagangan sahamnya dikendalikan oleh adiknya secara proksi semata-mata untuk menutup kekayaan Azam yang tidak dapat dijelaskan dan dagangan saham luar biasa melibatkan jutaan Ringgit?

Berapa ramai lagi Ahli Parlimen dan pemimpin Pembangkang yang akan dianiaya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tindakan balas dan dendam kerana terus menekan pembohongan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa akaun dagangan sahamnya dikendalikan oleh abangnya secara proksi semata-mata untuk menutup kekayaan Azam yang tidak dapat dijelaskan dan dagangan saham luar biasa melibatkan jutaan Ringgit?

Ini susulan dakwaan yang agak serius oleh Ahli Parlimen PKR Sungai Buloh R Sivarasa bahawa SPRM sedang mengambil tindakan balas terhadap pengurus pusat khidmat dan anak saudaranya berhubung siasatan yang telah ditutup 4 tahun lalu, tetapi dibuka semula selepas Sivarasa membangkitkan isu pemilikan saham Azam di Dewan Rakyat. Memandangkan ramai Ahli Parlimen Pembangkang juga telah membangkitkan tipu helah saham Azam di Parlimen, adakah ini bermakna mereka boleh menjangkakan untuk diburu dan dituduh dengan tuduhan palsu oleh SPRM?

Saya dapat memahami penderitaan yang dilalui oleh anak saudara Siva kerana saya sendiri menjadi mangsa tuduhan rasuah bermotif politik oleh SPRM dengan didakwa atas siasatan yang juga telah selesai 4 tahun lalu walaupun tiada satu sen pun wang suapan ditemui dalam simpanan saya atau dalam akaun bank saya. Siva mesti berasa sedih dengan anak saudaranya, yang sama seperti isteri saya didakwa di atas pendapatan sah sebagai peguam yang telah diambil kira sepenuhnya dan secara sah serta juga telah dibayar cukai.

Malaysia mendapat imej yang buruk di mana ketua bagi badan pencegahan rasuah di negara ini terlibat dengan dakwaan rasuah atau salah guna kuasa. Azam telah ditangkap berbohong oleh Suruhanjaya Sekuriti yang mendedahkan akaun dagangan saham Azam dikendalikan oleh Azam sendiri dan bukan sebagai akaun proksi oleh adik Azam. Malangnya, Azam enggan menjelaskan pembohongannya atau sumber kekayaannya sehingga dia mampu untuk menjalankan dagangan saham berjumlah jutaan ringgit, tetapi berkeras menegaskan bahawa SC telah membersihkannya daripada sebarang salah laku sedangkan perkara yang sebaliknya berlaku.

Daripada sepatutnya melindungi pemberi maklumat, SPRM mengkhianati diri mereka sendiri dengan menganiaya mereka. SPRM tersilap jika mereka merasakan Ahli Parlimen Pembangkang akan tunduk dan berundur daripada mencari kebenaran disebalik pemilikan misteri saham oleh Azam. Ahli Parlimen Pembangkang tidak akan berhenti tetapi terus berusaha untuk mencari kebenaran.

Azam boleh menyelamatkan apa sahaja yang tinggal daripada reputasinya yang semakin hilang dengan mengambil cuti sementara panel penyiasat bebas meneliti kesnya. SPRM juga boleh menyelamatkan kredibiliti dan integriti mereka yang semakin berkurangan dengan menghentikan tindakan tidak berasas yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika terhadap Ahli Parlimen Pembangkang yang menjalankan tugas mereka untuk mendedahkan salah laku dan rasuah.