Kalau kita imbas kembali 30 hingga 40 tahun yang dahulu, pendidikan Pra Sekolah tidaklah diberi keutamaan oleh masyarakat Malaysia. Golongan berada dan golongan terdidik ketika itu menghantar anak-anak mereka ke pendidikan Pra Sekolah. Tetapi golongan sederhana dan miskin pula jarang sekali menghantar anak-anak mereka ke Pra Sekolah kerana pelbagai alasan.
Kini pendidikan Pra Sekolah bukan lagi asing untuk seluruh warga Malaysia. Pada masa ini lebih daripada 80% anak-anak kita mendapat pendidikan Pra Sekolah. Pola ini meningkat setiap tahun kerana kesedaran ibubapa akan kepentinag pendidikan awal ini. Walau bagaimanapun masih juga terdapat ibubapa yang gagal menghantar anak-anak mereka ke pengajian Pra Sekolah. Antara alasan yang sering diberikan ialah tidak ada Pra Sekolah berhampiran dengan kediaman mereka. Satu lagi alasan yang ketara ialah yuran Pra Sekolah yang diselia oleh pihak swasta adalah tinggi dan mereka tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke situ.
Untuk mengatasi masalah ini kerajaan harus mewujudkan lebih banyak Pra Sekolah berhampiran dengan rumah-rumah kediaman serta yuran yang rendah atau berpatutan. Ini akan membantu ramai ibubapa yang bependapatan rendah dan sederhana menyara pendidian anak-anak mereka. Selain daripada itu, anak-anak daripada golongan ini juga tidak tercicir menimba ilmu setanding dengan anak-anak yang datang daripada keluarga berkemampuan. Mengikut rekod yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri, sebanyak 2054 Pra Sekolah telah dibuka sehingga 2012 di bawah Program Transformasi Kerajaan.
Pendidikan Pra Sekolah juga adalah penting untuk sekolah-sekolah Tamil. Ketiadaan program Pra Sekolah di sekolah-sekolah Tamil merupakan salah satu punca yang menyebabkan penurunan dalam jumlah kemasukan Tahun 1. Kerajaan harus mewujudkan Pra Sekolah di semua sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Pra Sekolah juga harus dibuka dikuil-kuil besar dan mempunyai kemudahan dewan untuk tujuan tersebut. Ini akan menggalakkan ibubapa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil setelah selesai tahap pra sekolah Tamil.
Saya ingin mengetahui berapakah Pra Sekolah Tamil telah diwujudkan sejak tahun 2009 di bawah Program Transformasi Kerajaan? Berapakah jumlah peruntukkan yang telah disalurkan oleh kerajaan kepada Pra Sekolah Tamil dalam tempoh tersebut. Saya mohon supaya Timbalan Menteri Pendidikan YB Kamalanathan memberi jawapan kepada dua soalan yang saya kemukakan.