Rakyat Pulau Pinang yang saya dikasihi. Salam sejahtera.
Adalah diharapkan anda semua berada dalam kesihatan yang baik di samping keluarga tersayang dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Saya percaya ramai rakyat Pulau Pinang yang tertanya-tanya akan kes yang dilaporkan membabitkan Penjara Reman Pulau Pinang semalam. Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan jabatan-jabatan keselamatan berkaitan termasuk Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah segera dalam mengawal perebakan pandemik COVID-19 di lokasi berkaitan.
Saya dan barisan Exco serta ex-officio Kerajaan Negeri telah diberi taklimat khas berhubung situasi terkini di Penjara Reman Pulau Pinang pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sebentar tadi.
Hadir pada sesi berkaitan ialah:
- Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sahabudin Abd. Manan;
- Pengarah JKNPP, Dr. Asmayani Khalib;
- Pengarah Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang, Tuan TKP Roslan Mohamed;
- Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Encik Nazrul Fazami Mohamad;
- Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKNPP, Dr. Marina Kamaruddin;
- Ketua Penolong Pengarah Kanan (Cawangan Kawalan Penyakit) JKNPP, Dr. Rozaini Mat Shah.
Pada mesyuarat berkaitan, Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa:
- Keadaan di Penjara Reman Pulau Pinang masih terkawal dan pada peringkat permulaan. Malah, tindakan pantas juga telah diambil oleh semua pihak dalam mengawal perebakan wabak terbabit. Pengalaman-pengalaman yang berlaku di negeri-negeri lain akan dijadikan sebagai panduan dalam menangani perebakan wabak ini.
- Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang telah menulis surat kepada pihak mahkamah bahawa kes-kes perbicaraan dan reman membabitkan OKT dari penjara adalah diminta ditangguhkan sehingga makluman lanjut.
- Semua banduan akan menjalani saringan dengan keutamaan diberikan kepada kontak utama. Saringan turut dijalankan terhadap kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang.
- Semua pihak berada dalam keadaan bersiap-siaga bagi menghadapi seberang kemungkinan dalam tempoh 24 jam setiap hari.
Dengan ini, saya berharap seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang akan terus bersatu-padu dan berdoa dalam bersama-sama menghadapi cabaran ini. Kerajaan Negeri akan terus berusaha melindungi rakyat Pulau Pinang dalam apa jua keadaan.
Kerajaan Negeri akan sentiasa sentiasa bersama anda semua. Saya percaya dan yakin orang Pulau Pinang mampu harungi dan menang dalam pertempuran ini.
Penang Lawan COVID-19!