DAP menolak alasan bahawa gelombang baharu jangkitan COVID-19 adalah satu-satunya punca peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini. Malah, pusat mengundi adalah lebih selamat daripada pasar dan kedai kopi di mana tempat orang ramai bergaul. Kluster jangkitan COVID-19 bagi mereka yang mengundi dan pekerja yang terlibat dalam kerja pengundian adalah tidak ketara berbanding kawasan awam seperti pasar dan kedai kopi, di mana calon sendiri telah dijangkiti COVID-19 semasa berkempen di sana.
Walaupun BN telah bermain kotor dengan memastikan perlawanan yang tidak adil dengan penyalahgunaan jentera kerajaan, media dan mengamalkan politik wang, parti pembangkang perlu menghadapi realiti pahit bahawa mereka juga perlu memikul sedikit tanggungjawab atas kekalahan mereka. Kekurangan perpaduan sesama pembangkang disebabkan gagal menggunakan logo bersama, visi bersama, atau sebarang perbincangan calon MB dan pecahan sokongan pembangkang dengan banyak parti pembangkang yang bertanding sesama sendiri tidak membantu.
Ini sangat jelas terutamanya bagi Warisan yang bertanding di semua 6 kerusi di mana PH adalah penyandang kerusi dan tiada di kerusi BN, serta lebih banyak berkempen untuk mengalahkan PH berbanding BN. Pendekatan Khemah Besar semua parti pembangkang yang bertekad menentang BN, tidak termasuk Perikatan Nasional, perlu diusahakan.
Tidak ada gunanya menyalahkan kekalahan PH ke atas peratusan keluar mengundi yang lebih rendah sebagai penafian diri untuk menutup keengganan berterusan untuk memahami atau enggan menangani punca utama kekalahan. Hanya dengan memahami dan menangani punca utama kekalahan barulah kita boleh mengelak kehilangan semua kerusi kita dan menawarkan harapan kebangkitan dan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
Sebagai contoh, bagaimana kita boleh meyakinkan pengundi bahawa PH komited terhadap undang-undang anti-lompat dan pengkhianatan mandat rakyat apabila pembelot daripada parti kerajaan diletakkan sebagai calon? Prinsip dan perilaku sangat penting apabila seseorang bercakap tentang mahu menjadi ejen perubahan dan reformasi.
Walaupun DAP telah berjaya menangani beberapa kelemahan yang membantu kami mengurangkan kekalahan dan mengekalkan 10 kerusi, masih banyak yang perlu dilakukan oleh DAP. Terdapat keperluan mendesak untuk berfikir sebagai satu pakatan, dan tidak sekadar tertumpu semata-mata pada yang kepentingan sempit parti sendiri. Hanya dengan berkongsi kemenangan kita sebagai satu pakatan, kita boleh menang lebih banyak. Bersikap tidak mahu menerima kenyataan dengan tidak mengakui kelemahan dan kegagalan komunikasi tidak akan membantu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.
DAP tidak boleh melakukannya secara bersendirian dan memerlukan PH untuk bersama-sama menangani isu-isu ini. Terdapat keperluan untuk menggerakkan pengundi kembali ke pusat mengundi dengan memberi inspirasi terhadap harapan dan keyakinan bahawa proses demokrasi dan perubahan melalui proses pilihan raya boleh mengubah nasib mereka untuk membolehkan mereka untuk hidup lebih baik daripada sebelum ini.